MALAYSIA mencipta sejarah baharu dalam arena pertahanan apabila kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) pertama negara yang dinamakan RIBAT, dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
RIBAT yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef), merupakan simbol pencapaian teknologi tempatan dalam bidang pertahanan darat negara.
Pelancaran bersejarah itu berlangsung sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2025) dan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pembangunan RIBAT membuktikan kemampuan Malaysia untuk bukan sahaja menjadi pengguna, tetapi pencipta sistem pertahanan tersendiri yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Nama “RIBAT” yang diberikan sendiri oleh Perdana Menteri membawa maksud simbolik semangat berkawal dan mempertahankan tanah air yang berpaksikan iman, patriotisme serta kemajuan teknologi.
Pengarah Urusan Mildef, Datuk Seri Mohd. Nizam Kasa dalam kenyataan hari ini berkata RIBAT, merupakan bukti nyata hasil inovasi dan kejuruteraan tempatan yang bertaraf dunia.
Beliau berkata, pembangunan kenderaan tersebut dilakukan sepenuhnya di kemudahan milik Mildef di Seremban dan Sepang, dengan menekankan aspek perlindungan balistik modular serta keupayaan pelbagai misi seperti rondaan, konvoi dan operasi khas.
“Pelancaran RIBAT adalah manifestasi kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasa ekosistem pertahanan negara yang berdikari, lestari dan berimpak tinggi,” katanya.
Lebih membanggakan, produk keluaran Mildef turut mendapat perhatian antarabangsa apabila syarikat pertahanan terkemuka Indonesia, PT Pindad, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Mildef.
Kerjasama ini, katanya, membuka laluan luas kepada aspek eksport, pemindahan teknologi dan integrasi sistem antara kedua-dua negara serantau.
Dalam majlis sama, turut dimeterai Memorandum Perjanjian (MoA) antara Mildef dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) iaitu sebuah agensi penyelidikan utama di bawah Kementerian Pertahanan, bagi pembangunan dua lagi platform kenderaan taktikal yang direka sepenuhnya dalam negara.
“Kerjasama dengan STRIDE adalah langkah strategik dalam menjadikan Malaysia hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan di rantau ini,” ujar Mohd Nizam.
Sementara itu, Mildef dijangka memeterai kontrak dengan Tentera Darat Diraja Malaysia bagi pembekalan 136 unit Tarantula, sekali gus menandakan tahap keyakinan tinggi Kementerian Pertahanan terhadap kemampuan MILDEF dalam melaksanakan projek berskala besar mengikut spesifikasi dan jadual ditetapkan. – Edisi 9

