36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Piala Sudirman: Malaysia tempah tempat ke separuh akhir

Ini merupakan kejayaan pertama Malaysia menundukkan Indonesia dalam Piala Sudirman selepas tiga pertemuan

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pasukan badminton negara berjaya mara ke separuh akhir Piala Sudirman 2021 setelah menyingkirkan Indonesia 3-2 dalam aksi penuh dramatik di peringkat suku akhir di Enerbia Areena, Vantaa, Finland awal pagi ini.

Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir buat kali kedua sepanjang kejohanan itu apabila pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron/Cheah Yee See menundukkan beregu keempat dunia, Praveen Jordan/Melati Daeva Oktavianti 21-19, 9-21, 21-16 dalam masa sejam 1 minit.

Sebelum itu, skuad negara berjaya meraih mata pertama menerusi pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Aaron Chia/Soh Wooi Yik yang menewaskan gandingan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon/Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-12, 21-15 dalam masa 33 minit.

Bagaimanapun pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, S. Kisona gagal meneruskan kecemerlangan apabila tunduk kepada pemain nombor 21 dunia, Gregoria Mariska Tunjung 20-22, 21-18, 19-21.

Juara All England 2021, Lee Zii Jia kembali menceriakan kem pasukan negara apabila menewaskan Anthony Sinisuka Ginting 21-11, 21-16, sekali gus merupakan kemenangan pertamanya dalam empat pertemuan sebelum ini.

Indonesia sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi beregu wanitanya. Gandingan muda negara, Perly Tan/M. Thinaah tewas dalam perlawanan rubber-set, 20-22, 21-17, 18-21 kepada pasangan Greysia Polii/Apriyani Rahayu sebelum Pang Roon/Yee See mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Ini merupakan kejayaan pertama Malaysia menundukkan Indonesia dalam Piala Sudirman selepas tiga pertemuan dengan kali pertama dalam kumpulan pada edisi 1999 di Copenhagen, Denmark yang menyaksikan pasukan negara jiran itu menewaskan pasukan negara 4-1.

Malaysia dijangka bertemu Jepun di peringkat separuh akhir setelah pasukan itu menewaskan Taiwan 3-1. Pasukan negara sebelum ini tewas kepada Jepun 4-1 di peringkat kumpulan.

Dua lagi yang mara ke separuh akhir ialah juara bertahan China yang akan berdepan dengan Korea Selatan selepas masing-masing menyingkirkan Denmark dan Thailand 3-2. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan