31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Sukarelawan UPSI bantu mangsa banjir Sungai Siput

Mesti Baca

KUALA KANGSAR – Pasukan sukarelawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah ke Sungai Siput Utara bagi membantu mangsa banjir yang melanda penduduk Pulai Kamiri, dekat sini baru-baru ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, program yang dijalankan oleh ResQ Tema UPSI itu membantu membersihkan rumah-rumah mangsa banjir di sekitar Felda Lasah dan Rancangan Perumahan Tersusun Tok Sirat selain menyerahkan sumbangan makanan.

“Usaha ini selaras dengan agenda UPSI dalam memartabatkan diri sebagai universiti ternama di Malaysia dan antarabangsa serta memperkukuhkan keinsanan warga UPSI yang sentiasa menyumbang keringat dan tenaga demi keharmonian dan kemakmuran Keluarga Malaysia tercinta,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin berkata, misi bantuan kemanusiaan itu berlangsung selama dua hari melibatkan 27 anggota ResQ membabitkan pensyarah, kakitangan dan siswa UPSI.

Beliau berkata, bahagian pengangkutan UPSI menyediakan empat kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan sebuah bas untuk membawa sukarelawan dan peralatan dalam misi bantuan banjir ini.

Norkhalid yang juga Ketua Projek EmpowerNCER Akademik @ Perak berkata, sebanyak 50 pek barangan keperluan asas dan makanan kering sumbangan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) turut diserahkan kepada mangsa banjir.

Pihak UPSI, katanya, terlibat dengan Program EmpowerNCER Akademik @ Perak di tiga buah sekolah di daerah berkenaan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, SMK Toh Muda Abdul Aziz serta SMK RLKT Lasah yang melibatkan 200 orang murid SPM tahun 2021.

“Yang menyedihkan seramai 10 murid peserta program ini telah menjadi mangsa banjir dan rumah mereka ditenggelami air di Felda Lasah,” katanya.

Pegawai Daerah Kuala Kangsar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana daerah itu, Zulhisham Ahmad Shukori berkata, dalam kejadian banjir pada 27 September itu seramai 83 mangsa telah ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara.

Katanya, daripada jumlah itu, 14 keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai RPT Tok Sirat manakala lapan keluarga lagi ditempatkan di dewan Sekolah Kebangsaan Lasah.

Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput, Mohammad Suffian Zakaria dan Pengetua SMK RLKT Lasah, Nazri Zainun. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan