24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Transformasi Parlimen: Tempoh jawatan PM dihadkan 10 tahun

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun antara tujuh transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan dibentang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, turut dipersetujui adalah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti di Parlimen.

“Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang- Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.

“Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, turut dipersetujui ialah setiap RUU termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Manakala ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.

Ketua Pembangkang pula akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Transformasi Parlimen yang dicadangkan itu hampir sama dengan apa yang pernah ditawarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.

Advertisements

Ketika itu, Muhyiddin mengemukakan pelan rentas parti bagi mengelak negara berhadapan krisis politik sekali lagi, namun tawaran tersebut dianggap cubaan menyogok pembangkang bagi mengekalkan kuasanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, usaha melaksanakan transformasi Parlimen dan pentadbiran kerajaan itu bagi mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Ia juga selaras dengan titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan ekonomi.

“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen,” katanya.

Pada masa yang sama, tambah Perdana Menteri, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, transformasi kerajaan ini memaktubkan nilai-nilai murni dan muafakat merentasi pelbagai latar agama, kaum, dan budaya dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Ini juga selaras dengan semangat untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan