27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Buat persiapan, ‘we will make a comeback’ – Muhyiddin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – “InsyaAllah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, we will make a comeback,” tegas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pada masa itu Perikatan Nasional (PN) dan beliau sendiri selaku Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam Pilihan Rraya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sehingga saat itu, saudara dan saudari sebagai ahli parti, mestilah melakukan segala persiapan.

“Tumpukan kepada usaha untuk memperkuatkan parti di akar umbi. Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan Bersatu sebagai parti pilihan rakyat,” katanya.

Muhyiddin berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelima penubuhan Bersatu yang diadakan secara dalam talian malam ini.

Pada masa yang sama, beliau menyeru ahli Bersatu untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti komponen PN di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan.

Menurutnya, dasar Bersatu ialah tidak boleh bersendirian dalam menghadapi pilihan raya.

“Kita memerlukan sokongan parti-parti komponen PN dan parti-parti rakan kita yang lain untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan,” katanya.

Menurutnya, semua ahli juga perlu membuktikan budaya politik Bersatu ini berbeza.

“Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Advertisements

“Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa,” tegasnya.

Mengulas lebih lanjut, Muhyiddin menasihatkan ahli untuk membuktikan nilai kepimpinan Bersatu yang berteraskan prinsip integriti dan amanah.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” katanya.

Selain itu Muhyiddin turut mengingatkan ahli parti berkenaan telah banyak berkorban kerana nilai dan prinsip yang dipegang selama ini.

“Kita bersusah-payah mendirikan parti kita ini kerana kita ingin membebaskan negara daripada cengkaman kleptokrasi. Alhamdulillah, kita telah berjaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kini sekali lagi kita berkorban kerana kita tidak sanggup menggadai prinsip dan nilai yang menjadi asas perjuangan parti kita,” tegasnya.

Menurutnya, Bersatu telah melakukan perkara yang betul dengan tidak tunduk kepada desakan untuk menggadaikan prinsip walaupun terpaksa hilang kedudukan dan jawatan.

“Melakukan perkara yang betul ini bukan tuntutan politik, tetapi tuntutan agama. Jadi, jangan kita gentar, jangan kita kecewa.

“Tidak mengapalah kita berkorban sedikit kerana Allah s.w.t menjanjikan kejayaan yang besar bagi hamba-hamba-Nya yang sentiasa beriman dan bertakwa kepada-Nya dengan melakukan segala suruhan-Nya,” kata belia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan