32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PM kemuka pelan kerjasama bi-partisan selesai kemelut politik

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

Hadkan jawatan PM dua penggal, Ketua Pembangkang setara Menteri Kanan

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengemukakan pelan kerjasama rentas parti politik (bi-partisan) bagi mewujudkan kerajaan yang lebih stabil dan inklusif selepas usul undi percaya diluluskan di Parlimen bulan depan.

Menurut Perdana Menteri, kestabilan kerajaan adalah kerana mendapat dukungan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara manakala inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan akan berunding dengan pimpinan parti-parti di luar Perikan Nasional (PN) untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Kata beliau, tujuan cadangan itu dikemukakan untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau juga mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera.

“Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti
politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan.

“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,” katanya dalam Ucapan Khas Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Muhyiddin turut memberi jaminan akan mengambil tindakan yang
terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan
terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” kata beliau.

Muhyiddin berkata, atas semangat kerjasama rentas parti tersebut, beberapa langkah dan cadangan akan dikemukakan untuk dibentang dan diluluskan di Parlimen.

Antaranya ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-undang Antilompat Parti akan dibentangkan di Parlimen sekiranya kerajaan berjaya mendapat sokongan bi-partisan di Parlimen melebihi majoriti dua pertiga.

Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.

“Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan,” kata beliau.

Muhyiddin berkata, sebarang rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentang di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua ahli Parlimen.

Suatu rang undang-undang itu, jelas beliau, hanya akan dibentangkan sekiranya telah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan,” kata Muhyiddin.

Selain itu, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga, kata Muhyiddin, boleh ditambah untuk memastikan semua ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini.

“Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh ahli Parlimen kerajaan dan 50 peratus lagi oleh ahli Parlimen pembangkang.

“Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, Kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” jelas Perdana Menteri. – Edisi 9

Terkini

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH/BN wakili kerajaan perpaduan

CALON Pakatan Harapan/Barisan Nasional (PH/BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan mewakili...

Lagi Artikel Berkaitan