26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Sekolah dibuka 3 Oktober, murid dibenar tidak pakai seragam

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Golongan ibu bapa tidak perlu bimbang untuk menyediakan pakaian seragam anak masing-masing berikutan kesemuanya dibenarkan hadir ke sekolah dengan berpakaian kemas dan sopan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari terdapat kebimbangan ibu bapa khususnya yang berhadapan kesukaran menyediakan pakaian seragam baharu susulan pakaian seragam lama tidak lagi sesuai dengan anak mereka.

“Kita sedar bila kita buka sekolah, ada ibu bapa yang mungkin lihat baju anak-anak dah ketat, seluar dah mungkin tak boleh nak zip, maka oleh demikian kita benarkan murid memakai pakaian yang sesuai dan kemas serta sopan sekiranya pakaian seragam yang ada tidak lagi sesuai dipakai.

“Sebolehnya kita inginkan anak-anak ini kembali ke sekolah. Tak ada baju dah ketat, baju dah lusuh tak apa tapi jangan jadi fashion show pula di sekolah,” katanya sempena sidang media Pengoperasian Sekolah hari ini.

Terdahulu, Radzi menyatakan sesi persekolahan untuk tahun ini dilanjutkan hingga Mac 2022 dan murid akan kekal pada tahun persekolahan masing-masing pada bulan Januari dan Februari.

Pelanjutan sesi persekolahan tahun 2021. Kredit: KPM

“Dalam tempoh dua bulan itu, sekolah akan gunakan bagi program intergrasi fokos memberi bantuan, sokongan dan dukungan kepada pelajar yang lemah, sementara bagi murid yang cemerlang, tempoh berkenaan pula digunakan untuk mengukuhkan pemahaman.

Malah menurutnya, sesi persekolahan secara bersemuka 3 Oktober ini, dilaksanakan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan secara penggiliran.

“Hanya negeri dalam fasa dua, tiga dan empat yang akan memulakan sesi persekolahan pada 3 Oktober depan, mengikut tahap umur serta sistem penggiliran 50 peratus daripada enrolmen keseluruhan murid.

Bagaimanapun menurutnya, sekolah di negeri fasa satu akan kekal ditutup buat masa ini, sekali gus semua pelajar di dua negeri berkenaan akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Bagi anak-anak istimewa pula, ramai ibu bapa yang memohon agar anak-anak mereka dapat kembali ke sekolah. Maka KPM setuju golongan ini kembali kesekolah bermula di fasa kedua PPN.

Beliau menambah, selain itu dalam kebenaran kembali ke sekolah bermula fasa 2 itu, pelajar tingkatan 6 semester 2, IBD Tahun Dua dan Program Pra Universiti Semester 3 di Sekolah Sukan Malaysia dibenarkan hadir tanpa penggiliran.

“Selain itu, turut dibenarkan hadir adalah murid kelas peperiksaan antarabangsa tanpa penggiliran, manakala murid lain terus menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Dalam Fasa 3, murid kelas peperiksaan antarabangsa lain akan hadir secara penggiliran, semua murid Pra Universiti di Sekolah Sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan awam di sekolah asrama penuh hadir tanpa penggiliran.

Murid kelas peperiksaan awam di sekolah harian dan swasta akan hadir secara penggiliran,” katanya.

Bagi Fasa 4, Radzi berkata, murid kelas peperiksaan awam, Tingkatan Tiga dan Empat di sekolah asrama penuh hadir tanpa penggiliran, manakala murid di sekolah harian dan swasta hadir secara penggiliran bermula 17 Oktober.

“Bagi murid Kelas Peralihan, Tingkatan Satu dan Dua pada 17 Oktober hingga 31 Oktober masih melaksanakan PdPR.

Ringkasan pembukaan sekolah mengikut fasa. Kredit: KPM

“Pada 31 Oktober, semua murid sekolah asrama penuh hadir tanpa penggiliran. Murid lain termasuk murid sekolah swasta, sekolah antarabangsa, sekolah ekspatriat hadir secara penggiliran.

Berikut merupakan ringkasan pembukaan sekolah pada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah diputuskan mengikut fasa;

Menurutnya, KPM tidak boleh terus membiarkan anak-anak “renggang” dalam sistem persekolahan dan menjadi hasrat kementerian untuk melihat anak-anak dapat kembali ke sekolah dalam keadaan selamat serta dididik dengan norma baharu.

-EDISI9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan