31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

RUU Akta KWC dibentang di Parlimen bulan depan

Bagi meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

CYBERJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion di Parlimen, bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usul pembentangan Akta Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) atau Akta KWC itu telah diluluskan Majlis Jemaah Menteri pada 10 September lalu.

Menurut beliau, pindaan Akta KWC itu juga bagi meningkatkan had statutori hutang kerajaan Persekutuan daripada 60 peratus kepada 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pindaan RUU tersebut akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini dan ia bertujuan, antara lain, mengukuhkan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan wabak COVID-19 serta merawat pesakit COVID-19.

“(Selain itu) menambah baik bantuan tunai langsung kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, ia sejajar dengan komitmen kerajaan bahawa rakyat dan peniaga yang memerlukan bantuan akan tetap disokong sebaik mungkin.

Beliau berkata, MOF juga telah mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

Katanya, ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021.

“Seterusnya, melalui Bajet 2022, MOF akan berusaha mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusai penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan, serta meningkatkan lagi daya tahan negara.

“Bajet 2022 juga akan menerapkan beberapa aspek penyusunan semula yang akan menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam memacu pertumbuhan yang lebih lestari, mampan dan berdaya saing,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan