26.1 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 23, 2024

Tiktok cadang labur RM10 bilion, jadikan Malaysia hab AI

Mesti Baca

TIKTOK menerusi ByteDance System bercadang untuk menjadikan Malaysia sebagai hab dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) di rantau ini dengan pelaburan sebanyak RM10 bilion.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presiden Tiktok, Helena Lersch kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abd Aziz di Singapura hari ini.

Tengku Zafrul berkata, dalam pertemuan itu, Lersch juga berhasrat untuk mengembangkan fasiliti pusat datanya di Sedenak Tech Park, Kulai, Johor dengan pelaburan tambahan sebanyak RM1.5 bilion.

“Setakat ini, TikTok melalui ByteDance System telah membangunkan pusat data di Sedenak Tech Park, Kulai, Johor.

“Mengambil kira keperluan masa depan, Bytedance berhasrat untuk mengembangkan fasiliti pusat datanya dengan pelaburan tambahan RM1.5 bilion,” kata Tengku Zafrul menerusi media sosialnya hari ini.

Tengku Zafrul berada di Singapura bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

Beliau berkata, pelaburan tambahan Bytedance itu sudah pasti akan membantu Malaysia mencapai sasaran untuk mengembangkan ekonomi digital kepada 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2025.

Tengku Zafrul ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) di Singapura.

Mengenai IPEF, beliau berkata, tiga perjanjian telah dimeterai, iaitu Perjanjian IPEF (utama), Perjanjian Ekonomi Lestari dan Perjanjian Ekonomi Saksama.

Advertisements

“Saya telah menandatangani ketiga-tiga Perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, di bawah Perjanjian Ekonomi Lestari IPEF, rakan kongsi akan memajukan kerjasama serantau untuk mempercepatkan penggunaan teknologi tenaga bersih dan mempromosikan aktiviti pasaran karbon.

Selain itu mereka juga akan bekerjasama dalam rantaian nilai Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) serantau dan antarabangsa serta mempromosikan pengangkutan lestari.

“Melalui Perjanjian Ekonomi Saksama IPEF pula, rakan kongsi komited untuk memperkukuhkan pelaksanaan langkah-langkah anti-rasuah dan inisiatif percukaian mereka untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan, dengan mempromosikan persekitaran perniagaan yang adil dan telus,” katanya.

Bersempena dengan mesyuarat tersebut, Malaysia juga mengambil peluang untuk mengemukakan instrumen ratifikasi Perjanjian IPEF Berkaitan Daya Tahan Rantaian Bekalan yang ditandatangani pada 14 November 2023 di San Francisco.

Dengan selesainya proses ratifikasi, Malaysia kini bersedia untuk melaksanakan Perjanjian ini dan ini mewakili langkah penting dalam usaha Malaysia untuk memperkukuhkan daya tahan rantaian bekalan.

“Ratifikasi Perjanjian ini adalah langkah penting ke arah mencapai objektif ini dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama di rantau Indo-Pasifik,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK Sungai Bakap: Pilih Cikgu Joohari atau Abang Abidin

PENGUNDI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan membuat pilihan sama ada Cikgu Joohari atau Abang Abidin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan