34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

MoU kerajaan, PH kemenangan rakyat Malaysia – Tengku Zafrul

Mesti Baca

CYBERJAYA – Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam merupakan satu kemenangan untuk rakyat Malaysia tanpa mengira usia, bangsa, agama atau pegangan politik.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, yang kalah hanyalah mereka yang mahu melihat COVID-19 melunturkan semangat Keluarga Malaysia.

Berikut kenyataan beliau berhubung isu tersebut seperti dimuat dalam Facebooknya.

Hari ini (semalam), sejarah tercipta di mana sebuah Memorandum Persefahaman dwi-partisan telah ditandatangani oleh parti-parti politik utama di Malaysia.

Setelah perbincangan mendalam, semua pihak bersetuju untuk mengetepikan cita-cita peribadi dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Memorandum ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang komited untuk melaksanakan transformasi dan mengamalkan keterangkuman demi #KeluargaMalaysia.

Alhamdulillah, pimpinan Pakatan Harapan menyambut baik inisiatif Kerajaan yang dibuat demi rakyat ini untuk bersama mengatasi cabaran yang sedang melanda negara ketika ini.

Memorandum ini bukan bermakna kerajaan mempunyai kuasa mutlak untuk berbuat sesuka hati.

Memorandum ini memastikan bahawa semua ahli politik akan menggembleng sepenuhnya buah fikiran, tenaga dan kuasa untuk membantu rakyat dan negara bangkit semula setelah menghadapi cabaran COVID-19 yang kesannya cukup mendalam.

Memorandum ini juga tidak bermakna kerja kuat untuk memulihkan negara sudah berjaya. Sebaliknya, ini adalah titik permulaan baharu untuk kita sama-sama menghadapi cabaran yang besar ini.

Jika kebanyakan bantuan-bantuan sebelum ini dibuat atas prinsip memastikan survival rakyat menghadapi COVID-19, cabaran kerajaan semasa pemulihan adalah untuk membantu rakyat bangkit semula seperti sebelum ini.

Individu akan dibantu untuk menjana pendapatan, syarikat akan dibantu untuk berkembang semula, serta ekonomi negara akan dipastikan berada di landasan terbaik.

Transformasi jangka panjang yang dipersetujui boleh mewujudkan landskap politik yang lebih memanfaatkan rakyat.

Namun, apa yang sama penting adalah kesan jangka pendek iaitu kestabilan politik untuk kita semua sama-sama bangkit pulih.

Memandang ke hadapan, saingan kita bukanlah sesama kita dalam negara, tapi saingan kita ialah negara-negara lain.

Dan musuh kita juga bukanlah sesama kita, tetapi COVID-19 dan pelbagai cabaran yang sama menggerunkan seperti perubahan iklim yg menyaksikan kemusnahan di banyak negara termasuklah di negara-negara maju.

Memorandum ini adalah kemenangan untuk semua rakyat Malaysia tidak kira umur, bangsa, agama ataupun pegangan politik. Kita semua menang.

Yang kalah hanyalah mereka yang ingin melihat COVID-19 melunturkan semangat keluarga Malaysia. InsyaAllah, kita akan berjaya untuk bangkit dan #MenangBersama. – Edisi 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan provokatif diturunkan sejak awal tahun

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif yang...

Lagi Artikel Berkaitan