28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PN tolak Ahmad Maslan, pemilihan Timbalan Speaker ditangguh?

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pencalonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditolak oleh sebahagian daripada blok kerajaan sehingga pemilihan jawatan itu yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan.

Memetik beberapa laporan media sebelum ini, penolakan Ahmad datang daripada ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang enggan memilih beliau sebagai pengganti Datuk Seri Azalina Othman Said.

Difahamkan ia sebagai tindak balas terhadap tingkah laku Ahmad yang sebelum ini ‘menyerang’ Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Ahli Parlimen Pagoh tersebut menjadi Perdana Menteri.

Malah, Ahmad merupakan salah seorang daripada 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga Pengerusi PN itu terpaksa meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.

Difahamkan dalam mesyuarat prasidang Dewan Rakyat kelmarin yang melibatkan semua ahli Parlimen kerajaan, seorang pemimpin kanan secara terbuka memberitahu Ahmad bahawa beliau tidak akan menyokong Setiausaha Agung UMNO itu.

Utusan TV yang memetik sumber berkata, ahli-ahli Parlimen PN sedia menyokong mana-mana calon bagi menggantikan Azalina asalkan bukan ‘kumpulan 15 UMNO’ yang sebahagiannya adalah kalangan ‘kluster mahkamah’.

“Kalau sokongan diberikan kepada beliau (Ahmad) menduduki jawatan Timbalan Speaker, ia akan menjejaskan imej kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Lagipun sudah ada persefahaman mana-mana individu yang ada kes mahkamah tidak akan dilantik memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan,’’ kata sumber tersebut seperti dilapor.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menggesa ahli-ahli Parlimen menolak calon yang mempunyai rekod tercemar atau daripada kalangan ‘kluster mahkamah’ bagi menggantikan kekosongan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

“Ini adalah mengejutkan dan membimbangkan memandangkan Ahmad sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah untuk dua pertuduhan iaitu tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberikan pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya seperti dilapor FMT.

Kah Woh berkata, Muhyiddin sebelum meletak jawatannya juga berkata tidak akan bekerjasama dan menyokong kumpulan ‘kluster mahkamah’ dalam UMNO.

Susulan itu, katanya, Muhyiddin dan Ahli Parlimen Bersatu perlu walk the talk dan mengotakan janji itu pada pengundian pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Mengikut jadual sidang Dewan Rakyat hari ini, pemilihan Timbalan Speaker sepatutnya diadakan selepas ia dikosongkan oleh Azalina yang juga Ahli Parlimen Pangerang.

Ia sepatutnya menyaksikan ‘pertembungan’ antara Ahmad dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang dicalonkan oleh Pakatan Harapan (PH). Kor Ming merupakan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau meletakkan jawatan itu pada 13 Julai 2020 kerana bersolidariti penuh terhadap Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang digugurkan daripada jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan