28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Portal HQA boleh diakses untuk buat permohonan mulai esok

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEPANG – Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) membangunkan sistem bagi permohonan kuarantin di rumah dikenali sebagai portal Permohonan Kuarantin Di Rumah (HQA).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, sistem baharu itu boleh diakses melalui portal https://ecovid19.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa mulai esok bagi mana-mana individu yang memasuki negara ini.

“Dengan wujudnya portal HQA sebagai langkah penambahbaikan, pengurusan permohonan dapat dilakukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Satu borang sahaja perlu diisi dan permohonan perlu dibuat dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum ketibaan ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan di Pusat Pemeriksaan Kesihatan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Khairy berkata, pengembara yang akan tiba di Malaysia mulai 28 September ini boleh membuat permohonan kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman melalui portal HQA.

Katanya, sebelum ini, permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman boleh dibuat melalui e-mel menggunakan alamat e-mel [email protected].

Beliau menjelaskan, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Ogos lalu, di mana pengembara yang sudah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19 diberi kemudahan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman, permohonan untuk mendapatkan kemudahan tersebut meningkat mendadak.

Bagaimanapun, Khairy memberi jaminan KKM mempunyai cara pemantauan apabila menerima permohonan kuarantin di rumah daripada pengembara dan ini merupakan strategi kerajaan membuka semula sektor-sektor ekonomi dengan selamat.

Beliau berkata, portal ini diharap memudahkan dan meningkatkan kecekapan proses permohonan dan kelulusan kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.

“Namun begitu, pengembara yang mendapat kelulusan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman diingatkan untuk mematuhi sepenuhnya Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.

“Kegagalan mematuhi perintah ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342],” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan