29.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Gara-gara PATI positif COVID-19, anggota Polis Marin dikuarantin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Gara-gara empat daripada 34 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Operasi Benteng di perairan Jeram, Kuala Selangor, awal pagi semalam disahkan positif COVID-19 anggota Polis Marin terpaksa dikuarantin.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, empat daripada PATI terbabit iaitu dua lelaki dan dua wanita disahkan positif ketika saringan COVID-19 di Pusat Saringan Ambang Botanik, Bukit Tinggi, Klang.

“Ekoran kejadian itu, lapan anggota bot ronda PPM terpaksa menjalani kuarantin selama 10 hari kerana menjadi kontak rapat kepada PATI berkenaan,” katanya seperti dilapor BH Online hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berhubung kehadiran bot pom-pom membawa PATI di perairan Pulau Angsa pada 2.45 pagi.

“Dua bot ronda bergerak ke lokasi untuk mengesan dan membuat pintasan ke atas bot terbabit. Pada jam 3.15 pagi, bot dikesan di perairan Jeram pada jarak kira-kira 2.8 batu nautika dari pantai.

“Selepas dikejar selama 15 minit, bot terbabit berjaya ditahan, tetapi tekong bot dipercayai warga Indonesia terjun ke laut, selepas menyedari kehadiran kami.

“Pemeriksaan dalam bot mendapati 34 PATI terdiri daripada 32 warga Indonesia dan dua warga Myanmar berusia 18 hingga 51 tahun,” katanya.

Shamsol berkata, PATI dan bot bernilai RM10,000 dibawa ke Jeti PPM Selangor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1985.

Shamsol berkata, siasatan awal mendapati bot terbabit berada di laut selama tiga hari sebelum cuba memasuki pesisir pantai Selangor.

“Ia berlepas dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia dan hanyut di laut sementara menunggu arahan tekong darat untuk lokasi pendaratan.

“Masing-masing membayar Rp3 juta (RM877) sebagai tambang diseludup ke Malaysia.

“Semua PATI itu pernah bekerja di negara ini, manakala dua warga Myanmar pula datang ke Malaysia untuk berjumpa keluarga mereka yang sudah berada di sini,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan