28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Tiada usul undi percaya terhadap PM, kata Wan Junaidi

Mesti Baca

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dikatakan tidak akan berhadapan dengan usul undi percaya di Parlimen atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar setelah diberitahu oleh Ismail Sabri sendiri ketika mesyuarat pertama Kabinet tempoh hari.

Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa besar kepada Agong untuk melantik Perdana Menteri yang diyakininya mempunyai sokongan majoriti dan ketika itu, 114 ahli Parlimen telah menyokong Ahli Parlimen Bera tersebut.

“Ini bukan anggapan lagi, (ahli parlimen) memang menghadap Agong (untuk menyatakan sokongan). Jadi dalam masa singkat, saya tidak lihat mereka mengubah pendirian.

“Jika tempoh masa enam atau tujuh bulan, mungkin ada yang ubah fikiran. Jadi berdasarkan ini, Agong berkenan undi percaya tak perlu diadakan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Perdana Menteri baharu yang dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri dan kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang.

Ini kerana, menurut beliau, tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah pun diputuskan oleh Seri Paduka Baginda sendiri.

Seri Paduka telah mengadakan sesi menghadap bersama ketua-ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos di mana kesemua 220 ahli-ahli Dewan Rakyat telah diminta menyatakan nama ahli Parlimen yang diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan.

Susulan penerimaan surat akuan tersebut, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap seramai 114 ahli Dewan Rakyat untuk mengesahkan kepercayaan kepada Ismail Sabri yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ekoran itu, pihak pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap Idrus derhaka kerana mempersoalkan titah yang telah dibuat Yang di-Pertuan Agong.

Pembangkang berharap usul undi percaya perlu diteruskan apabila Parlimen bersidang minggu depan, bagi mengabsahkan Ismail Sabri sepertimana dititah sebelum ini.

Sehingga kini belum ada kenyataan daripada Istana Negara berhubung penarikan balik titah tersebut. – Edisi 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan