25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Sokongan PN terhadap Ismail Sabri bersyarat, tegas Muhyiddin

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan 50 Ahli Parlimen parti itu menyokong Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu, tetapi dengan bersyarat.

Menurut Muhyiddin, ia selaras dengan prinsip PN untuk mempertahankan
kerajaan yang berintegriti.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, sekiranya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Ismail Sabri hendaklah memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan mereka sehingga Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti di Parlimen.

Berikutan itu proses pemilihan penggantinya sedang dilaksanakan atas budi bicara Seri Paduka Baginda dengan memilih seorang Ahli Dewan Rakyat yang difikirkan mempunyai kepercayaan majoriti dalam kalangan mereka.

Menurut Muhyiddin, kesemua Ahli Parlimen PN terdiri daripada 31 dari Bersatu, Pas (18) dan STAR (satu) telah menyerahkan akuan bersumpah kepada Istana Negara semalam bagi menyatakan sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri itu.

Katanya, empat ahli Dewan Rakyat bebas yang pro-PN juga telah berbuat
demikian.

“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang
membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar
Kerajaan PN yang sedang menumpukan usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat,” katanya.

Jelas Muhyiddin, keputusan itu juga bermakna PN lebih mengutamakan
kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam
dalam persaingan merebut kuasa.

“Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU-15 apabila tiba masanya,” kata beliau.

Ismail Sabri hampir pasti dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan apabila kesemua Ahli Parliman gabungan PN termasuk Barisan Nasional dan GPS diminta mengadap Seri Paduka Baginda bagi mengesahkan surat akuan masing-masing. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan