CYBERJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengambil tindakan tegas dengan menyenaraihitamkan calon yang dikenalpasti telah melakukan salah laku integriti.
SPA dalam kenyataannya berkata, hasil pemantauan dan siasatan yang dilaksanakan, SPA telah mengenal pasti calon yang melakukan salah laku integriti dengan mewujudkan kumpulan tertentu dalam platform media sosial.
“Salah laku itu bertujuan menawarkan perkhidmatan berbayar penyediaan jawapan atau bersubahat melakukan aktiviti peniruan dan perkongsian jawapan bagi kelulusan Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE).
“SPA memandang serius perkara ini dan telah mengambil tindakan tegas dengan membatalkan keputusan peperiksaan dan menyenaraihitamkan calon yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, SPA menegaskan permohonan calon bagi sebarang jawatan juga tidak akan dipertimbangkan.
Memetik laporan Berita Harian online 10 Disember tahun lalu, SPA menerima 1.145 juta permohonan jawatan kosong sehingga Jun.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan pemohon jawatan dengan SPA itu berusia antara 18 hingga 35 tahun.
-EDISI9