24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Pengambilan kakitangan awam berasaskan merit, bukan kaum – CUEPACS

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) menegaskan pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, perkhidmatan awam selama ini juga tidak pernah menetapkan faktor bangsa, kaum, etnik atau negeri tertentu sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam.

Menurut beliau, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri.

“Permohonan pula adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama. Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

“Ketika ini sambutan daripada kaum bukan Bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji rendah berbanding jika bekerja di sektor swasta, bidang lain atau berniaga,” katanya kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, CUEPACS memandang serius kenyataan itu dan pihaknya cukup terkilan apabila wakil rakyat terbabit membuat kenyataan terbuka tanpa mendapatkan sebarang maklumat yang tepat daripada kerajaan mengenai situasi sebenar dalam perkhidmatan awam.

“Beliau adalah seorang daripada wakil rakyat daripada parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini. Kenyataannya mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam adalah satu tuduhan yang berat dan tidak berasas.

“CUEPACS atau mana-mana pihak dalam perkhidmatan awam sendiri tidak pernah mempertikaikan sektor lain yang juga didominasikan oleh kaum tertentu. Jika wakil rakyat itu berniat ikhlas, beliau sepatutnya perlu membangkitkan isu ini yang turut membabitkan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata,  kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.

Advertisements

“Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

“Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada di barisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat,” katanya.

Justeru menurutnya, CUEPACS amat mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk memberi pandangan dan idea untuk membangunkan lagi sektor perkhidmatan awam.

“Bagaimanapun janganlah sampai pandangan dan idea hingga melukakan mereka yang sedang dan sudah berkhidmat untuk negara ketika ini.

“Semua pihak terutama ahli politik dinasihatkan supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam hanya untuk kepentingan politik masing-masing.

“Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kelmarin, Ramasamy dilaporkan menggesa Anwar supaya mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan