31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Vaksinasi capai 50%, ‘dine- in’ dibenarkan mulai esok – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan aktiviti dine-in dibenarkan mulai esok bagi negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Muhyiddin berkata, pertimbangan yang dibuat mengambil kira perkembangan positif kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di seluruh negara yang telah melebihi 50 peratus.

Bagaimanapun, tegas beliau, pengusaha premis kedai makan disaran menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik kerana risiko penyebaran virus COVID-19 adalah jauh lebih tinggi di dalam premis berbanding di luar.

“Kedua, pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Bagi pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin yang kini memangku tugas Perdana Menteri sehingga pelantikan baharu dibuat berkata, selain dine-in, aktiviti sukan luar, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan juga dibenarkan bagi negeri-negeri Fasa 1 PPN serta terpakai di dalam daerah yang sama sahaja.

Aktiviti ‘dine-in’ dibenarkan mulai esok di seluruh negara – Gambar hiasan

Muhyiddin turut memaklumkan, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga bersetuju memberikan kemudahan tambahan dalam sektor perdagangan dan pengedaran bagi Fasa 1 PPN dan seterusnya.

“Kemudahan yang dibenarkan secara amnya adalah seperti operasi pasar malam dan pasar minggu.

“Pihak penguatkuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berkongsi perkembangan positif kes-kes COVID-19 apabila beberapa buah negeri iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan selain Lembah Kelang menunjukkan kadar penurunan kes kategori 3 hingga 5.

“Ia hasil iputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) yang telah melebihi 40 peratus. “Pada masa yang sama, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.

Tambah beliau, sebagai contoh purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun.

“Situasi ini dilihat selari dengan pencapaian kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Lembah Klang yang memberangsangkan iaitu 73.8 peratus.

“Apabila liputan imunisasi meningkat, kita akan melihat kes-kes COVID-19 yang perlu dimasukan ke ICU mula menunjukkan trend mendatar and diharapkan akan menurun,” kata beliau.

Pada 8 dan 15 Ogos lalu, kerajaan telah mengumumkan kemudahan-kemudahan sektor sosial dan ekonomi bagi individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan