Tuesday, July 21, 2026

PM cuai keluar kenyataan Laut China Selatan – Muhyiddin

Implikasi kenyataan itu secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kesediaan Malaysia berunding dengan China dalam isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan dalam sidang Dewan Rakyat, 4 April lalu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menyifatkan kenyataan berkenaan adalah cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.

Ujar beliau, implikasi kenyataan itu secara tidak langsung telah memperakui tuntutan negara China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia yang mesti dipertahankan.

“Pada hakikatnya, kawasan cari gali Petronas yang dirujuk oleh Perdana Menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh negara China.

“Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara bagi melindungi hak dan tuntutan wilayah negara.

“Kenyataan Perdana Menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara. Kenyataan Perdana Menteri yang dibuat di Parlimen ini adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing,” katanya dalam Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyudddin Hassan (PN-Kota Bharu) adakah beliau berbincang dengan pimpinan China mengenai keselamatan rantau ini terutama apabila kehadiran tentera laut China di Laut Cina Selatan menyebabkan terbentuk pakatan keselamatan antara Amerika Syarikat-United Kingdom-Australia (AUKUS).

Dalam sidang berkenaan, Anwar menegaskan syarikat minyak dan gas negara, Petronas akan terus mencari gali di sebuah kawasan yang ditutup oleh China di Laut China Selatan berikutan pertindihan tuntutan.

Anwar berkata, beliau menegaskan perkara itu walaupun kerajaan China berasa bimbang kerana Petronas telah menjalankan kegiatan besar- besaran di kawasan tersebut.

“Perkara ini saya sebut sendiri kepada Perdana Menteri dan Presiden China bahawa Malaysia menganggap kawasan ini kawasan Malaysia, maka Petronas akan terus mencari gali di kawasan itu.

Tetapi kalau China rasakan ini hak mereka, kita buka untuk rundingan. Sementara itu usaha kita mencari gali akan diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyentuh mengenai kenyataan Anwar berkenaan kehadiran kapal tentera laut China di kawasan perairan yang turut dituntut oleh tujuh negara termasuk Malaysia tetapi didakwa oleh China sebagai perairan antarabangsa.

“Perdana Menteri (Anwar) sepatutnya tegas mempertahankan kedaulatan wilayah negara seperti yang termaktub dalam peta Malaysia 1979.

“Sehingga kini, kawasan pertikaian di Laut China Selatan masih belum diputuskan dan ASEAN juga tidak mencapai konsensus mengenai pertindihan tuntutan di Laut China Selatan.

“Perlu diingat bahawa ASEAN menolak pengiktirafan 9 Dash Line yang dituntut oleh negara China, termasuk dalam wilayah perairan Malaysia,” tegasnya.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus ASEAN dan South China Sea Code of Conduct.

“Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali.

“Mengambil kira kedudukan ASEAN sebagai gabungan sepuluh buah negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan Gagasan ASEAN,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan