27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Bebas visa: Aspek keselamatan negara tidak diabaikan – PM

Mesti Baca

SUSULAN pengumuman kerajaan mengenai pengecualian visa kepada beberapa negara baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa aspek keselamatan negara tidak akan diabaikan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, agensi keselamatan telah diminta untuk memperkuatkan tapisan keselamatan supaya kemudahan pengecualian visa tidak menjejaskan keselamatan negara.

“Ada Ahli Yang Berhormat yang mungkin gusar kerana isu keselamatan dibangkitkan, maka agensi keselamatan telah diminta perkuatkan tapisan keselamatan supaya kemudahan ini tidak menjejaskan keselamatan negara,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.

Sebelum ini Anwar berkata, kerajaan memberikan pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Disember ini dalam semangat kerjasama strategik hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun pada tahun depan.

Beliau berkata, ia adalah tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara Teluk dan lain-lain negara di Asia Barat.

Anwar turut meminta pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menguruskan sendiri aset kelengkapan masing-masing tanpa campur tangan pihak luar, termasuk kerajaan, memandangkan agensi berkenaan sering dilanda masalah berkaitan perolehan.

Beliau berkata, ini bermakna ATM bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya terdapat masalah teknikal atau pelaksanaan manakala kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, hanya akan berunding dari segi kos aset kelengkapan.

“Sebaiknya kita runding tidak melalui ejen tetapi terus dengan kerajaan berkaitan. Kita sudah mula dengan Turkiye, Korea Selatan dan Itali.

“Kalau ada apa-apa yang diputuskan itu adalah keputusan sendiri, kalau Tentera Laut dia putuskan (untuk aset kelengkapan Tentera Laut).

Advertisements

“Kalau tidak, berbilion ringgit itu hanya tiris tidak dapat dikawal lagi. Soal keselamatan dan kelengkapan sangat kritikal bagi kita. Kita tidak mampu belanja puluhan bilion ringgit dan menyaksikan kelengkapan yang sangat daif ketimbang keupayaan negeri (negara) lain,” katanya.

Sementara itu, penurunan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu bukan bertujuan menggalakkan maksiat, memandangkan masih terdapat syarat-syarat ketat yang perlu dipatuhi.

“Bukan untuk galak maksiat, walau dikritik keputusan ini sebagai satu galakan tidak baik, tapi syarat ketat mesti dipatuhi,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai isu konflik Israel-Palestin dengan meminta rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan isu berkaitan Palestin untuk menaikkan suhu perbezaan antara agama dan kaum di negara ini.

Anwar berkata, masyarakat tanpa mengira agama mahupun kaum perlu memahami bahawa pendirian kerajaan menyokong Palestin serta menolak kekejaman Israel adalah kerana aspek kemanusiaan.

“Ada yang tanya mengapa kita memihak hanya kerana Palestin orang Islam, tentu ada kejahilan kefahaman kerana bumi Palestin memang majoriti Arab Muslim tapi ada juga minoriti Kristian,” katanya.

Anwar berkata, rejim Zionis berkenaan bukan sahaja merobohkan ratusan masjid tetapi juga memusnahkan tujuh buah gereja.

“Kita harus lihat dari sudut kezaliman dan dari segi kemanusiaan kerana ia turut membabitkan orang-orang bukan Islam,” katanya.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ yang dibentang Anwar di Parlimen pada 13 Oktober lalu, membabitkan peruntukan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah Malaysia. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan