30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

PM garis dua strategi kurangkan kesan ekonomi akibat pandemik

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyampaikan ucapan sulung selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menggariskan dua objektif utama bagi mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan berikutan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, kedua-dua objektif tersebut adalah untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna serta mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, beliau akan memberi tumpuan kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, mereka yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

“Fokus ini merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh. Saya juga akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir.

“Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerja bersama rakyat untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar.

“Seluruhnya bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen dan media utama petang ini.

Perdana Menteri berkata, seiring usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, penglibatan anak muda amat diperlukan.

“Untuk itu, saya pastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan ini. Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, strategi yang telah dirangka kerajaan sebelum ini dalam memerangi pandemik COVID-19 akan diteruskan dan diperkasakan serta ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan awam.

Katanya, beliau akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes wabak tersebut dilakukan secara lebih komprehensif.

“Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil,” katanya.

Ismail Sabri berkata, melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia merupakan antara yang terpantas di dunia iaitu secara konsisten melebihi 500,000 dos sehari.

Advertisements

“Bersandarkan data tersebut, maka kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

“Demi mencapai sasaran tersebut lebih awal, kerajaan ini akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung semakin diperhebat,’’ katanya.

Ismail Sabri berkata, krisis pandemik telah memberikan kesan yang sangat serius dan menyeluruh kepada ekonomi dunia, termasuk ekonomi domestik negara.

‘’Pelbagai sektor industri, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana, sangat terkesan. Ada yang masih bergelut dan ada yang gulung tikar. Ini memberikan impak yang besar kepada ekonomi rakyat serta negara,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, keupayaan memerangi pandemik secara berkesan memerlukan komitmen daripada semua Keluarga Malaysia.

‘’Bagi mereka yang masih belum mendaftar, rayulah ahli keluarga kita untuk segera berbuat demikian. Dengan itu, kita dapat membantu dan menghargai pengorbanan frontliners yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu,’’ katanya.

Beliau berkata, melalui kejayaan program vaksinasi kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara manakala anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah.

Jelas beliau, gambaran tersebut bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara kita pernah berjaya menurunkan statistik pesakit COVID-19 sepertimana ditunjukkan dalam tempoh ke belakang ini.

“Ini kerana fakta terkini pada Jumaat membuktikan keberkesanan strategi lalu apabila statistik kes harian Wilayah Persekutuan Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa, telah menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut- turut.

“Ini bukanlah bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman COVID-19 tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman sepertimana yang ditakuti sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, tegas beliau, demi memangkin pencapaian seperti di Labuan, pembelian tambahan sejumlah 6 juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan