27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, October 21, 2021

Ismail Sabri ajak pembangkang bekerjasama

Mesti Baca

Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini mengajak pembangkang untuk bekerjasama khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan membina kesejahteraan negara.

Menurut beliau, ia juga sebagai menyahut titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan agar semua pemimpin parti politik melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan,” kata beliau dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, beliau faham kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu, kata beliau, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan termasuk mewujudkan kerjasama rentas parti.

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19,” katanya.

Menyorot kembali tempoh sepenggal selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Perdana Menteri berkata, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum PRU-15, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri.

Baca juga:   440 orang ditahan langgar arahan SOP semalam

“Sebenarnya, peralihan tersebut dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik. Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini,” tegas beliau.

Baca juga:   31 ahli Parlimen BN kekal bersama PN sehingga September

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

“Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, hasrat tersebut hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

“Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.

“Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat!” kata beliau. – Edisi 9

Terkini

Cadang tubuh Majlis-majlis Pemulihan Negeri dipengerusikan Menteri Besar, Ketua Menteri

PENUBUHAN Majlis-majlis Pemulihan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing dilihat merupakan pendekatan terbaik bagi memastikan...

Lagi Artikel Berkaitan