32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pelantikan jalan keluar kekalutan, kekusutan politik – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pelantikannya sebagai Perdana Menteri sebagai suatu petunjuk kepada langkah mencari jalan keluar daripada segala kekalutan pandemik, kegawatan ekonomi dan kekusutan politik yang berlaku sejak beberapa bulan lalu.

Perdana Menteri, Ismail Sabri dalam ucapan awam sulungnya itu turut menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  bersama seluruh Raja-Raja Melayu perkenan atas pelantikannya.

“Saya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bekas Perdana Menteri telah berusaha sepenuh tenaga dalam menghadapi kemelut yang melanda negara bersama-sama ahli-ahli Jemaah Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sekali lagi dengan ikhlas, saya berterima kasih,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menyeru semua pihak supaya terus bersepakat menyelamatkan ‘Keluarga Malaysia’.

Beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa itu sifatnya lebih inklusif.

Katanya, ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum di mana menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan terus ada.

“Sebab itu, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

“Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.

“Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri, sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga melihat dan mengambil maklum akan kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup yang telah mencengkam semua.

“Ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja.

“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah.

“Oleh sebab itu, saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini,” katanya.

Sementara itu, dalam perkara yang berkaitan, Ismail Sabri turut mengajak pemimpin pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Beliau berkata, langkah tersebut dibuat sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong bersama ketua parti baru-baru ini agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Dengan langkah yang dilaksanakan itu diyakini mampu meleraikan segala perebutan kuasa politik dan berjuang bersama sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri.

“Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan,”katanya.

Bagaimanapun, beliau memahami kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan dan ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan