30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Penjawat awam antara ditahan edar dadah

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JOHOR BAHRU – Seorang penjawat awam antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki menganggotai sindiket pengedaran dadah dalam serbuan khas di Kulai dan Johor Bahru Utara (JBU) minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Johor melancarkan operasi khas membabitkan tujuh serbuan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sindiket penyeludupan dadah berkenaan dipercayai aktif sejak Disember 2019 itu menyeludup dadah dari negara jiran menggunakan lori sejuk beku yang dihantar ke Kota Bahru, Kelantan.

“Hasil serbuan dan siasatan polis mendapati, sindiket berkenaan menggunakan surat rentas negeri membabitkan penghantaran produk makanan sejuk beku bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan lanjut terhadap dua lori sejuk beku mendapati ia telah diubah suai dengan ruangan simpanan khas di lantai ruangan belakang lori berkenaan sedalam 9 sentimeter bagi menyembunyikan dadah diseludup yang dipercayai dipindahkan dari kereta yang masuk dari negara jiran,” katanya.

Maklumat berkenaan dikongsikan beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, dadah berkenaan kemudian dibawa ke negeri ini bagi diedarkan ke pasaran tempatan.

Menurutnya, penahanan itu adalah hasil makluman awam dan risikan polis, dalam tujuh serbuan khas yang dibuat, pada 8 Ogos lalu.

“Dalam serbuan pertama, dua suspek lelaki berusia 36 dan 48 tahun ditahan bersama sejumlah dadah jenis ganja menyebabkan lima serbuan berasingan dibuat.

“Seramai empat lelaki berusia 28 hingga 43 tahun bersama seorang wanita berusia 45 tahun ditahan susulan serbuan pertama dilakukan.

Menurutnya, tiga lagi suspek lelaki berusia antara 26 hingga 28 tahun turut ditahan menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan membabitkan 10 suspek termasuk seorang pegawai eksekutif wanita sebuah badan berkanun.

“Dalam kesemua serbuan dibuat, polis berjaya merampas 175.65 kilogram (kg) dadah jenis ganja membabitkan 174 ketulan bernilai RM441,163.63,” katanya.

Ayob Khan berkata, polis turut merampas dua lori, enam kereta, dua motosikal, wang tunai berjumlah RM45,550, pelbagai barang kemas bernilai RM16,076.90 selain menyita satu akaun bank bernilai RM6,972.22.

Menurutnya, daripada 10 suspek, lapan positif dadah manakala tujuh mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kesemua 10 suspek direman 14 hari bermula 9 Ogos lalu dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan