30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

Garis panduan baharu, penambahbaikan permohonan pertukaran

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Garis panduan baharu bagi menggantikan Surat Pekeliling Ikhtisas 1975 Panduan bagi Pertukaran Guru-Guru akan dibentangkan Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lama lagi.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya menyedari cabaran yang dihadapi guru dalam konteks memohon pertukaran ini, dan KPM telah meneliti perkara berkaitan secara menyeluruh.

“Sepertimana yang diketahui, isu ini berlarutan sekian lama, dan kami telah meneliti perkara utama, serta penambahabaikan yang boleh dibuat,”katanya dalam muat naik di Facebook hari ini.

Beliau berkata, dalam garis panduan baharu ini, banyak penambahbaikan yang diperkenalkan, antaranya ialah akan membenarkan permohonan pertukaran guru sepanjang tahun.

“Banyak lagi penambahbaikan dalam konteks pertukaran guru ini, KPM akan memberikan penjelasan lanjut tidak lama lagi untuk menyelesaikan isu pertukaran tersebut selain meneliti dan memperhalusi dengan mendalam perkara ini bagi mendapatkan penyelesaian terbaik,”katanya.

Radzi berkata, beliau menerima banyak permohonan berkaitan pertukaran guru yang berharap agar permohonan pertukaran 2021 diproses seiring dengan pengambilan guru baharu secara ‘one-off’ yang telah diumumkan KPM.

“Sememangnya itulah hasrat KPM, iaitu sebelum kita menempatkan 18,702 orang guru baharu daripada pengambilan ‘one-off’ ini, kita akan cuba menyelesaikan sebanyak mungkin permohonan pertukaran untuk tahun 2021,”katanya.

Advertisements

Bagaimanapun, Dr Radzi berkata, terdapat beberapa perkara utama yang di ambil kira dalam memertimbangkan sebarang permohonan pertukaran.

“Faktor pertama yang dipertimbangkan dalam pertukaran guru ialah kekosongan jawatan di negeri yang dipohon dan keduanya keperluan opsyen di negeri yang dipohon.

“Katakan ada kekosongan jawatan di negeri tersebut, tapi tiada kekosongan atau keperluan opsyen di negeri tersebut maka permohonan pertukaran dalam konteks ini amat sukar untuk dipertimbangkan.

“Kita sedar cabaran dihadapi guru dalam konteks permohonan pertukaran ini dan pihak KPM telah meneiliti permohonan pertukaran guru ini secara menyeluruh,” jelasnya.

Ujar beliau, KPM komited memastikan dapat melaksanakan yang terbaik dalam menjaga kebajikan semua warga pendidik.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada guru supaya terus memberikan terbaik di samping bersama berusaha meningkatkan kualiti pendidikan di negara.

“Dengan kerjasama yang baik dapat lahirkan pewaris negara jauh lebih hebat,”katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

10 mahasiswa UM sertai program selamatkan sayur-sayuran

SERAMAI 10 mahasiswa Asasi Sains Sosial dari Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) telah menyertai program menyelamatkan sayur-sayuran dan...

Lagi Artikel Berkaitan