Sunday, July 19, 2026

KPM tambah baik SOP keselamatan, tangani isu buli di sekolah

Pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang tidak menguruskan aduan buli berdasar kepada garis panduan sedia ada akan dikenakan tindakan.

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengambil beberapa langkah penting bagi memastikan isu keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, antara langkah diambil termasuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) keselamatan sekolah dan langkah-langkah bagi menangani isu disiplin termasuk salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM. 

Beliau berkata, SOP dan garis panduan sedia ada akan dikaji semula bagi memastikan ia relevan dengan keperluan semasa dan akan datang.

“Audit keselamatan akan segera dilaksanakan di semua institusi pendidikan termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan asrama harian. 

“Audit ini memberi tumpuan kepada pematuhan semua SOP yang terkait dengan aspek keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini KPM dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek teruk dikecam oleh warganet kerana dikatakan gagal menangani kes buli di sekolah, susulan kematian seorang pelajar perempuan tingkatan satu di sebuah sekolah di Sabah baru-baru, ini yang didakwa akibat dibuli.

MOHD AZAM AHMAD

Mohd Azam berkata, hasil laporan audit tersebut akan dibentangkan kepada Pengurusan Tertinggi KPM dalam tempoh tiga bulan.

“Sistem aduan sedia ada termasuk portal Aduan Buli akan direformasikan.

“Ia akan dipermudahkan serta mempunyai pilihan anonim bagi melindungi identiti pengadu dan saksi,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa reformasi keselamatan institusi pendidikan KPM akan ditubuhkan bagi memastikan aspek keselamatan diperkasakan. 

Keahlian jawatankuasa itu, katanya, akan  melibatkan ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar pelbagai bidang, pihak polis dan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS).

“Tiada kompromi terhadap salah laku buli. Tindakan tegas mesti diambil termasuk menerusi hukuman gantung dan buang sekolah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azam berkata, program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ yang menumpukan kepada aspek khidmat komuniti dan pembangunan sahsiah diperkenalkan khusus untuk murid yang digantung sekolah.

Manakala pentadbir, guru serta pegawai di pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri yang tidak menguruskan aduan buli berdasar kepada garis panduan sedia ada akan dikenakan tindakan.

Sementara aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat demi memastikan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.

Beliau menegaskan, Guru Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting dalam usaha pencegahan dan intervensi menangani salah laku buli.

Pada masa sama KPM menyeru semua pihak untuk bekerjasama menangani salah laku buli secara menyeluruh dan bersepadu. 

“Usaha mewujudkan ekosistem sekolah yang selamat adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya. — Edisi 9

Terkini

Exco Johor: Enam kekal portfolio, empat lantikan baharu

SERAMAI 10 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2026-2031 hari ini mengangkat sumpah jawatan masing-masing hari...

Lagi Artikel Berkaitan