24.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Pengarah HKL akui kes COVID-19 di kecemasan menurun

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Berita baik yang dikongsi oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Sabtu lalu berkenaan jumlah pesakit Covid-19 di Jabatan Kecemasan telah menurun disahkan oleh Pengarah HKL, Dr. Rohana Johan.

Memetik laporan Bernama, Dr. Rohana menyatakan tren penurunan telah berlaku sejak sebulan lalu dan paling ketara dilihat pada minggu lalu.

“Alhamdulilah, jika kita bandingkan kemasukan pesakit Covid-19 sejak sebulan yang lalu, kita dapat melihat penurunan jumlah kes yang diterima di jabatan kecemasan.

“Jika sebulan lalu, terdapat lebih dari 200 kes kecemasan yang menunggu untuk masuk ke wad, sekarang hanya tinggal sekitar 20 orang sahaja,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.

Dr Rohana percaya kerjasama orang dalam pengambilan vaksinasi serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) telah menyumbang kepada penurunan kemasukan ke Jabatan Kecemasan HKL.

Menurutnya, kes jangkitan bagi kategori lima yang memerlukan bantuan pernafasan juga menunjukkan penurunan terutamanya dalam kalangan individu yang sudah mendapat lengkap divaksin.

“Walaupun masih ada kes yang memerlukan bantuan pernafasan, kebanyakannya adalah merupakan individu yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi,” katanya.

Lebih melegakan beliau ialah keadaan penurunan terkini itu memberi ruang kepada petugas baraisan hadapan untuk merawat pesakit dalam suasana yang lebih tenang dan kurang tegang.

Menurutnya, trend penurunan berkenaan akan terus berlanjutan dengan kerjasama orang ramai.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif Kementerian Kesihatan, termasuk Pasukan Petugas Khas Lembah Klang dan hospital swasta yang sedia menerima pesakit bukan Covid untuk mendapatkan rawatan.

Advertisements

“Selain itu, inisiatif kerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan sukarelawan baik klinikal atau bukan klinikal membantu mengurangkan kesesakan di jabatan kecemasan HKL,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati dua wad yang sebelum ini dikhaskan untuk merawat pesakit kategori tiga Covid-19 kini dijadikan wad untuk merawat pesakit bukan Covid-19 di zon kuning sejak seminggu lalu.

Difahamkan, wad yang dapat menempatkan 30 pesakit pada satu-satu masa itu pernah dihuni oleh 70 pesakit Covid-19.

Katil kanvas yang digunakan di wad serta puluhan tangki oksigen dan ventilator kini diletakkan di satu sudut dan dalam keadaan siap siaga untuk digunakan jika diperlukan.

Katil kosong juga kelihatan di dua wad pengasingan yang menempatkan pesakit kategori empat dan lima serta yang memerlukan bantuan pernafasan.

Salah satu wad pengasingan yang mampu menampung hingga 12 pesakit kini hanya merawat enam pesakit.

Terdahulu, pakar anestesiologi HKL, Dr Hana Hadzrami dalam catatannya di Facebook, berkongsikan kelegaannya kes rujukan dari jabatan kecemasan ke unit rawatan rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 yang kritikal menurun.

“Kami di Lembah Klang sudah mulai nampak titik cahaya di hujung terowong yang gelap. Samar-samar tetapi penuh harapan,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan