27.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 1, 2023

Letak jawatan kerana ada pihak rakus rebut kuasa – Muhyiddin

Mesti Baca

Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pelbagai ikhtiarnya untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga selesai tugas mengurus pandemik dan pemulihan ekonomi tidak berhasil kerana ada pihak rakus mahu merebut kuasa.

Menurut beliau, rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar beliau meneruskan tugas dan tidak meletakkan tidak dapat dipenuhi kerana telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tindakan itu selaras dengan sumpah jawatannya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

“Saya boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip saya untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi itu bukan pilihan saya.

“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa,” kata beliau dalam Perutusan Khas di sini hari ini.

Keputusan tersebut menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri paling singkat memegang jawatan tersebut.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, walaupun pada awalnya beliau mencadangkan agar keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen namun tindakan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan dan cadangan kerjasama rentas parti yang disyorkan ditolak oleh parti-parti pembangkang.

“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlulah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen.

“Maka, pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” kata Presiden Bersatu itu.

Baca juga:   Pembangkang terjerit-jerit bila PM ajak tafakur, baca al-Fatihah
Baca juga:   Usah sekat pendakwah berlainan fahaman politik - Muhyiddin

Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”.

“Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya.

“Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

“Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah SWT mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri.

“Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” kata beliau.

Muhyiddin mengambil kesempatan itu memohon keampunan kepada rakyat atas segala kekhilafan dan kelemahan sepanjang 18 bulan menjadi Perdana Menteri.

Katanya, beliau bersama Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat dalam tempoh krisis pandemik.

“Saya berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Muhyiddin, 74, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang berikutan tindakan Bersatu meninggalkan gabungan tersebut dan peletakan jawatan Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Baca juga:   Ronnie bantah gandingan Mahathir-Anwar
Baca juga:   Agong berkenan Ismail Sabri sebagai PM-9, angkat sumpah esok

Bersatu menganggotai PH bersama DAP, PKR dan Amanah ketika menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama 60 tahun. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

DBKL gempur pusat pelacuran operasi bulan Ramadan

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur tujuh pusat pelacuran yang beroperasi pada bulan Ramadan di sekitar Jalan Petaling, Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan