28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Bekalan vaksin ditinggalkan PN lebih daripada mencukupi

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PUTRAJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap rakyat tidak bimbang walaupun kerajaan akan berganti kerana bekalan vaksin yang ditempah lebih daripada mencukupi.

Beliau berkata, sebanyak 87 juta dos vaksin telah ditempah oleh Kabinetnya untuk vaksinasi penduduk negara ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion.

“Kepada semua rakyat Malaysia, anda tidak perlu risau. Kabinet saya telah memesan lebih daripada cukup vaksin untuk anda semua. Sekiranya vaksinasi program berjalan lancar, anda semua akan mendapat vaksin pada akhir Oktober.

“Saya berharap kerajaan baharu yang mengambil alih pentadbiran negara ini akan menjaga anda semua kerana ia adalah satu-satunya perkara yang saya sayangi. Saya sentiasa menjaga anda,” katanya dalam Perutusan Khas di sini hari ini.

Beliau meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan membubarkan Kabinetnya selepas 19 bulan mentadbir negara berikutan hilang sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin berkata, tempoh dua bulan ke hadapan adalah amat penting kerana negara dijangka akan mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.

Justeru, beliau berharap segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak akan terbantut walaupun kerajaan sudah bertukar.

“Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.

“Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan,” katanya.

Beliau optimis negara akan dapat keluar daripada krisis pandemik dalam masa terdekat dan teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang.

Ini berikutan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima sudah semakin berkurangan.

“Kekal bertenang. Mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan