24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Desas-desus Muhyiddin akan letak jawatan bertiup kencang

Mesti Baca

CYBERJAYA – Desas-desus bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri bertiup kencang sejak petang semalam.

Beberapa media yang memetik sumber beberapa pegawai kanan menteri melaporkan, pengumuman mengenainya akan dibuat pada Isnin selepas Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Edisi 9 turut dihujani pertanyaan tentang kedudukan Muhyiddin setelah pelan kerjasama bi-partisan yang ditawarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditolak oleh UMNO dan blok pembangkang.

“Makluman oleh Perdana Menteri itu dijangka dibuat pada tengah hari (Isnin), sebaik beliau selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” kata seorang pegawai kanan kepada menteri seperti dilapor Berita Harian.

FMT pula yang memetik sumber Putrajaya turut melaporkan bahawa “Muhyiddin akan meletak jawatan dalam tempoh terdekat, malah surat letak jawatan sudah disediakan.

Semalam, Perdana Menteri mengadakan beberapa siri pertemuan antaranya dengan para pemimpin PN dan ahli-ahli Parlimen UMNO serta beberapa menteri Kabinet di sebelah pagi.

Advertisements

Manakala di sebelah petang, beliau dilapor mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama Bersatu yang dipimpinnya.

Hari ini, Muhyiddin dijadual mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli Majlis Tertinggi Bersatu.

Keabsahan Muhyiddin sebagai perdana menteri semakin goyah selepas UMNO dan blok pembangkang menolak tawarannya untuk bekerjasama merentas kepartian.

Antara lain, Muhyiddin berjanji memberikan peruntukan sama rata kepada pembangkang selain melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi untuk memperolehi sokongan bagi usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun UMNO dan blok pembangkang menyifatkan tawaran itu sebagai sogokan untuk Muhyiddin kekal berkuasa.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan