25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Alhamdulillah, cahaya hujung terowong sudah kelihatan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

JIKA dilihat daripada laporan kes positif COVID-19 harian dan jumlah kematian, kita semua masih bimbang dengan situasi ini. Persoalan yang sering ditanya… “sampai bila kita akan sebegini?”

‘Dikurung’ selama berbulan-bulan sehingga tidak boleh mencari nafkah, anak-anak tidak dapat ke sekolah dan para peniaga terpaksa gulung tikar kerana tidak boleh menjalankan perniagaan atau kerana tiada pelanggan.

Rakyat sudah penat apatah lagi berkecamuk dengan masalah politik negara yang tidak putus-putus, satu demi satu. Politik saling jatuh menjatuhkan.

Ramai kalangan rakyat sudah pasrah dan ada yang nekad. Tak apalah kalau dijangkiti COVID-19 sekali pun, asalkan anak-anak di rumah tidak kelaparan, dapur dapat berasap dan fikiran tidak buntu berkurung di rumah.

Sebab itulah, apa sahaja jenis PKP yang diumum kerajaan, rakyat semakin sudah tidak peduli. Tiada lagi kepatuhan maksimum seperti awal pelaksanaannya setahun dulu.

Apatah lagi sekarangnya seolah-olah tiada langsung penguatkuasaan. Jika setahun dulu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada sahaja penguatkuasa membuat rondaan jika ada premis perniagaan yang melanggar SOP, tapi sekarang ini ‘gelang pink’ pun tidak dipakaikan lagi.

Para pekerja asing yang positif ‘tidak faham bahasa’ tidak melakukan kuarantin kendiri, sebaliknya masih terus ke sana ke sini kerana tidak ada siapa yang tahu dan bukti menunjukkan mereka pembawa virus COVID-19.

Tidak hairan kes-kes tidak pernah nampak surut walaupun jumlah pemberian vaksin dilaporkan meningkat. Pemberian vaksin sudah tinggi antara 400,000 hingga 500,000 dos sehari, namun kes-kes harian juga meningkat sehingga melebihi 20,000 kes. Ini yang agak pelik!

Ada media-media asing yang mula memandang sinis kepada Malaysia. Jika setahun dulu Malaysia dijulang sebagai contoh negara yang berjaya mengawal COVID-19 dengan usaha bersama kerajaan dan rakyat, tapi hari ini kita digelar ‘mini-India’ kerana lonjakan kes harian.

Namun sejak akhir-akhir ini jika diamati, sebetulnya pandemik ini menampakkan ‘sinar di hujung terowong’ hasil vaksinasi yang digerakkan secara agresif di seluruh negara.

Kadar kemasukan pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 di Hospital Sungai Buloh mengikut usia. – Sumber: KKM

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tentang jumlah penurunan kes-kes kategori 3 hingga 5 yang dimasukkan ke hospital di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Sarawak, Negeri Sembilan dan Labuan.

Malah di Hospital Sungai Buloh, jumlah pesakit kategori 4 dan 5 (kritikal) berusia 60 tahuun dan ke atas telah menunjukkan penurunan.

Ia hasil vaksinasi penuh yang dilaksanakan di negeri-negeri tersebut sehinggakan berjaya mengurangkan jumlah pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Labuan merupakan contoh terbaik di mana vaksinasi merupakan jalan penyelesaian krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia, terutama di negara ini.

Pulau itu yang suatu ketika mencatat ribuan kes ditambah dengan penularan varian Delta, namun semalam merekodkan sifar kes, iaitu kali pertama sejak Februari 2020.

Advertisements

Ia hasil pemberian vaksinasi yang menyeluruh kepada penduduk di Labuan sehinggakan mereka mencapai kadar imuniti kelompok yang pertama di negara ini.

Sarawak juga antara negeri yang agresif melaksanakan vaksinasi. Walaupun jumlah kes di negeri itu masih dalam tiga angka setiap hari tetapi kes-kes kritikal sudah menunjukkan penurunan.

Seorang doktor pakar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula menceritakan bahawa suasana di ICU HKL juga sudah mula boleh bernafas setelah sekian lama dibebani dengan pesakit-pesakit COVID-19 yang tidak putus-putus.

Dr Hana Hadzrami berkata, walaupun wad ICU masih penuh tetapi ia adalah pesakit-pesakit yang sudah berada di situ berminggu-minggu lalu yang terus menerima rawatan.

Manakala pesakit baharu yang dimasukkan sudah berkurangan. Jika ada mereka adalah kalangan mereka yang belum divaksin.

Bagi warganegara yang sudah menerima vaksin apalagi dua dos lengkap, tempoh rawatan di ICU hanya beberapa hari berbanding sebelum ini memakan masa berminggu-minggu.

Sebelum itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga ada mengumumkan jangkaan kerajaan bahawa 80 peratus daripada penduduk di negara ini akan memperoleh vaksinasi penuh dan 100 peratus daripada jumlah penduduk dewasa pada bulan Oktober.

Alhamdulillah… Ini menampakkan bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sudah menunjukkan kejayaan. Biarpun kita belum menang, sekurang-kurang kita sudah menemui jalan keluar.

Ya, betul vaksin bukan ubat untuk merawat COVID-19, tetapi vaksin boleh menguatkan daya tahan tubuh badan, mengurangkan kadar kemasukan ke ICU dan mengurangkan kematian.

Cuma di harap dalam masa-masa ke hadapan ini, kerajaan perlu lebih terbuka dengan mempermudah klinik-klinik kesihatan swasta melaksanakan pemberian vaksin di premis masing-masing.

Usah dipersulit dengan pelbagai syarat dikenakan kerana peranan mereka amat penting untuk membantu mencapai imuniti kelompok.

Usah difikirkan soal peti ais di klinik mereka, kursus-kursus itu ini yang perlu mereka hadiri. Kerajaan perlu yakin dengan profesionalisme mereka dalam menghadapi krisis kesihatan ini.

Pemudahkan orang ramai mendapat suntikan vaksin di klinik-klinik berhampiran rumah mereka. Pergiatkan usaha mereka membuat ujian saringan COVID-19 secara menyeluruh serta berdoa kepada Allah.

Ini kerana hanya dengan vaksin dan diiringi doa adalah penawar terbaik untuk mengatasi serangan pandemik ini. Bagi yang belum vaksin itu, segeralah berbuat demikian.

Lastik! – Tak sabar nak balik kampung

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan