25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Status quo Pas di Kelantan kekal sehingga PRU-15

Pas Menjelang PRU-15 (Siri 2)

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

LAKARAN sejarah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan penguasaan Pas di Kelantan.

Walaupun Malaysia dilanda tsunami politik ketika itu yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang menguasai kerajaan Pusat selama 60 tahun tumbang, namun Pas tetap gah mengekalkan status quonya.

Pergolakan dan percaturan politik kepartian, tidak menjejaskan sokongan rakyat Kelantan yang sentiasa memihak kepada Pas.

Semenjak tahun 1990, Kelantan terus kekal negeri pembangkang kerajaan Pusat.

Pas telah diperkuatkan di bawah gabungan parti dalam pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada PRU tahun 1995. Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meneraju penguasaan Pas dalam setiap pilihan raya yang diadakan sehinggalah PRU-13.

Sepanjang PRU-14 berlangsung didapati pola dan intensiti pengundian di Kelantan dipengaruhi oleh beberapa polemik dan literasi politik berkaitan gelombang kebangkitan rakyat, isu ekonomi, pengaruh media sosial, suara orang muda, peranan kepimpinan ulama dan kepincangan urus tadbir.

Ia dijangka turut ditimbulkan pada PRU-15 nanti kerana permasalahan, isu dan perkara yang dibangkitkan pengundi sebelum ini sememangnya adalah sama dan akan memberi kesan besar kepada keputusan pilihan raya.

Hegemoni masyarakat Kelantan dan status quo pengaruh Pas juga masih mempengaruhi literasi dan sosio-elektoral komuniti pengundi di Kelantan.

Walaupun dapat dilihat seluruh negara bahawa PRU-14 adalah milik Pakatan Harapan (PH), namun masyarakat Kelantan masih lagi bersama Pas.

Berdasarkan diskusi yang lebih berfokus bersama rakan penganalisa politik Kelantan, di antara kekuatan yang mempengaruhi pengekalan status quo ini adalah gabungan parti Melayu, ketahanan persepsi ‘parti Islam’, kejituan jentera parti, budaya kepembangkangan, isu semasa dan kecaknaan rakyat terhadap janji pilihanraya.

Walaupun fakta lebih menyokong kepada pengekalan status quo, cabaran yang mampu mengugat status quo ini tetap ada.

Antaranya ialah gelagat sokongan pengundi, isu-isu semasa, ekonomi dan sosio-ekonomi, sosio-politik kepimpinan, dasar kerajaan, keperluan akar umbi dan belia tempatan, keselamatan, pendidikan dan media.

Perkara berbangkit dalam manifesto PRU-14 juga menjadi cabaran yang harus dikendalikan dengan berhati-hati oleh kepimpinan Pas Kelantan.

Ini termasuklah meluluskan RUU 355 yang bertepatan dengan undang-undang negara Islam.

Selain itu, jika mahukan kemenangan pada PRU nanti, melalui Perikatan Nasional atau Muafakat Nasional, Pas, UMNO serta Bersatu perlu berkorban menyerahkan mandat pemerintahan secara bersama.

Ada pandangan yang menyatakan bahawa pada PRU-15 nanti UMNO perlu diberi mandat lebih, namun ia masih di peringkat perbincangan awal.

Berdasarkan penulisan ini yang merupakan sebahagian pengamatan sosio-elektoral semasa PRU-14, ianya akan memberi impak kepada penguasaan Pas di Kelantan pada masa hadapan.

Ternyata gabungan parti Melayu (Pas-UMNO-Bersatu), perubahan polisi dan urus tadbir, ekonomi dan budaya kepimpinan serta isu tempatan akan mewarnai dunia politik Kelantan.

Penulis berpandangan bahawa tsunami politik telah mengekalkan status quo Pas di Kelantan.

Ketahanan ini akan bertahan sehingga PRU-15 nanti. Namun, pendekatan analisis konvesional dan epistimelogi baru perlu diadakan lagi bagi memantapkan kajian pada masa hadapan.

  • Dr Mohd Sadad Mahmud adalah Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan