33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Vape bernikotin: NGO desak kerajaan nyatakan pendirian

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Enam badan bukan kerajaan (NGO) sekali lagi mendesak kerajaan menyatakan secara jelas pendirian mengenai isu ‘menghalalkan‘ vape bagi membolehkan cukai eksais dikenakan ke atas produk berkenaan.

NGO berkenaan ialah Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA), Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH), Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (OCC) serta IKRAM Health Malaysia.

Desakan berkenaan turut disokong oleh 58 NGO lebih-lebih lagi tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak Kementerian Kewangan Malaysia mahupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui desakan yang dibuat pada 30 Mei dan 24 Julai lalu.

Dalam sidang media bersama, NGO berkenaan menegaskan isu tersebut bukan hanya berkaitan dengan kesihatan rakyat bahkan produktiviti negara pada masa hadapan, terutamanya ketika negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.

“Pihak industri vape dan tembakau baru-baru ini giat memberi cadangan kepada kerajaan untuk mengenakan cukai eksais terhadap vape bernikotin dan mengatakan hasil cukai menyumbang kepada ekonomi negara.

“Cadangan sebegini dengan ketaranya membawa manfaat kepada industri sahaja. Padahal, cadangan ini bukan sahaja mempercepatkan peningkatan penagih nikotin di negara kita, terutamanya di kalangan generasi muda, bahkan akan meningkatkan kos perubatan bagi merawat penyakit akibat penggunaan vape, melumpuhkan sistem kesihatan dan seterusnya membebankan ekonomi negara.

Menurut kenyataan berkenaan lagi, pandemik Covid-19 telah memberi satu pengajaran yang sangat besar kepada kita semua.

“Sebarang keputusan pihak kerajaan mestilah berlandaskan bukti sains kerana implikasinya besar terhadap sistem kesihatan, yang kini semakin lumpuh akibat pandemik COVID-19.

“Hampir setiap hari kita boleh lihat terdapat cadangan daripada industri di media cetak atau media baru bagi melobi pihak kerajaan agar rokok eletronik atau vape dikawal selia dan mereka sangat mengalu-alukan pengenaan cukai eksais terhadap vape bernikotin ini.

Menurutnya, tiada keperluan bagi vape bernikotin dikawal selia kerana vape bernikotin sudah pun dikawal di bawah Akta Racun 1952, namun penguatkuasaan dan pengawalannya sangat longgar.

“Dewan Perniagaan Vape Malaysia mengakui melalui kenyataan akhbarnya bahawa 97 peratus penjualan cecair vape di pasaran adalah mengandungi nikotin. Ini bermaksud semua jualan vape bernikotin oleh pihak tidak berlesen di pasaran ketika ini adalah menyalahi undang-undang.

“Oleh itu, kerajaan Malaysia mesti membanteras penjualan vape bernikotin ini dan dengan segera memperkasakan penguatkuasaan di bawah Akta Racun 1952 untuk menunjukkanbahawa kerajaan tidak berat sebelah dan mempunyai piawaan dalam penguatkuasaan undang-undang.

Menurutnya, cadangan untuk mengenakan cukai eksais terhadap vape bernikotin hanya satu helah untuk mengecualikan vape bernikotin daripada Akta Racun supaya sesiapa sahaja boleh menjual vape bernikotin di pasaran secara terbuka seperti rokok dan penjualan haram sekarang boleh dihalalkan.

“Inilah keputusan akhir yang industri vape mahu. Implikasi gejala merokok ke atas kesihatan dan beban ekonomi sudah boleh kita semua lihat. Pengenaan cukai ke atas vape bernikotin seumpama mengulangi sejarah dan kesilapan ini mesti tidak boleh dilakukan sama sekali lagi.

“KKM adalah pelindung bagi kesihatan semua rakyat. Selama ini keputusan KKM sentiasa berlandaskan bukti sains, tetapi dalam isu rokok elektronik dan vape, KKM telah memilih untuk berdiam sahaja.

Melalui laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bertajuk “Epidemik Tembakau Global 2021”, WHO memberi amaran bahawa rokok elektronik dan alat seumpamanya membahayakan kesihatan.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan bahawa “nikotin sangat menyebabkan ketagihan. Sistem penghantaran nikotin elektronik (ENDS) berbahaya, dan mesti dikawal dengan lebih baik.”

Menurut kenyataan berkenaan, tindakan tegas dan pantas seharusnya diambil oleh KKM ke atas isu vape bernikotin ini seperti mana mereka menangani isu kesihatan lain.

“Kami menggesa agar segala keputusan KKM harus mementingkan kesihatan rakyat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Kami juga berharap perbincangan dapat diadakan bersama-sama antara badan professional perubatan dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha kawalan masalah merokok dengan segera, bukan industri vape atau tembakau di mana niat mereka sudah jelas dilihat. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan