28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Beban dan cabaran paling getir menanti Ismail Sabri

Mesti Baca

AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan esok bakal memikul beban dan berdepan cabaran paling getir dari setiap penjuru.

Ismail Sabri, 61, bukan sahaja akan mewarisi tekanan dari rakyat yang mahu melihat beliau membawa keluar negara daripada pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang teruk.

Namun, beliau juga akan berdepan dengan pihak lawan yang dijangka akan terus menerus mencari kelemahan beliau untuk membina persepsi buruk sepertimana yang dihadapi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri juga dijangka akan mendapat tekanan daripada rakan-rakan dalam UMNO terutama mereka yang mempunyai kes-kes mahkamah.

Justeru, seorang penganalisis politik berkata, Ismail Sabri yang akan menjadi Perdana Menteri Ketiga dalam tempoh sepenggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu mempunyai kekuatan untuk mengatasi semua cabaran tersebut.

“Paling penting bagaimana beliau berdepan dengan rakan-rakan yang mempunyai kes-kes mahkamah. Sudah tentu segala tindakannya akan memberi tekanan kepadanya.

“Diharapkan beliau mempertahankan integritinya dan mengekalkan dasar tidak masuk campur dalam sistem kehakiman negara,” katanya.

Ismail Sabri merekodkan sejarah bukan sahaja menjadi Perdana Menteri Kesembilan bagi negara, tetapi juga yang pertama dipilih bukan daripada kalangan ketua parti.

Beliau merupakan Naib Presiden UMNO iaitu nombor tiga dalam hirarki UMNO selepas Presiden dan Timbalan Presiden.

Selain itu, Ismail Sabri juga mencatat sejarah apabila menjadi Perdana Menteri selepas sebulan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga dianggap sebagai Perdana Menteri sementara berikutan sehingga PRU-15 yang dijangka diadakan dalam tempoh kurang daripada setahun.

Pelantikan beliau juga untuk mengisi jawatan yang ditinggalkan Muhyiddin selepas Presiden Bersatu itu hilang kepercayaan setelah 15 Ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN pada 4 Ogos lalu.

Ismail Sabri mungkin tidak berpeluang untuk menduduki kerusi tersebut tanpa sokongan padu rakan-rakan dari Perikatan Nasional (PN) terutama Muhyidin sendiri.

Muhyiddin memainkan peranan penting meyakinkan rakan-rakan parti dalam PN terutama Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memilih Ismail Sabri sehingga memperoleh majoriti dengan 114 sokongan.

Manakala 42 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) turut mengemukakan satu nama iaitu Ismail Sabri sebagai nama tunggal dikemukakan sebagai Perdana Menteri walaupun pada mulanya berbelah bahagi.

Ismail Sabri akhirnya disahkan sebagai Perdana Menteri selepas memperoleh 114 sokongan Ahli-ahli Parlimen, sekali gus menghampakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan yang diidamkan itu sejak sekian lama. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan