25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Agong berkenan Ismail Sabri sebagai PM-9, angkat sumpah esok

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Sehubungan itu, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan esok, pukul 2.30 petang di lstana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, keputusan itu dibuat selepas Seri Paduka Baginda berpuas hati dengan surat akuan yang dipersembahkan oleh kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat tentang pencalonan seorang Perdana Menteri yang baharu.

“Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (SD) pada 18 Ogos 2021 lalu.

“Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini. – Sumber: FB Istana Negara

Kata beliau, pada sesi perbincangan khas selama dua jam setengah bermula 2.30 petang itu, Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.

“Proses ini adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda semasa sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama negara pada 17 Ogos di mana kesemua 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat diminta menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi SD,” kata beliau.

Ahmad Fadil berkata, pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi SD tersebut bertujuan membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, setelah mendapati Ismail Sabri memperoleh 114 sokongan, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Ahli-ahli Dewan Rakyat terbabit semalam bagi mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Advertisements

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” kata beliau.

Seri Paduka Baginda, jelas Ahmad Fadil menzahirkan pandangan, dengan pelantikan Perdana Menteri maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan
keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu tersebut, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera.

Kesemua ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi
akibat pandemik COVID-19.

“Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” kata beliau.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Raja-raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

Raja-raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda berhubung pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Muhyiddin, dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi SD dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan