29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pegawai Istana Negara tolak dakwaan Raja Petra

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KUALA LUMPUR – Pegawai kanan Istana Negara menolak dakwaan mereka cuba menyekat Datuk Seri Ismail Sabri daripada dilantik sebagai Perdana Menteri dengan mempengaruhi Yang Di-Pertuan Agong.

Memetik laporan MalaysiaNow, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin enggan melayan dakwaan yang dilemparkan seorang penulis blog yang mendakwa beliau terlibat dalam cubaan menghalang Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri sekiranya tidak menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Tolong jangan layan RPK, biarkan orang awam baca dan analisis sendiri,” katanya merujuk kepada penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin.

Ia berikutan gesaan pembangkang supaya Yang Di-Pertuan Agong mengabaikan sokongan majoriti dari ahli-ahli Parlimen kepada Ismail Sabri tetapi sebaliknya menubuhkan kerajaan perpaduan yang turut melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Semalam, 114 ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan bebas hadir ke Istana Negara bagi mengesahkan sokongan mereka kepada Ismail.

Bagaimanapun, Raja Petra dalam satu hantaran di laman portal itu semalam, mendakwa terdapat cubaan untuk menghalang Ismail mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri sekiranya tidak bersetuju melantik Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menubuhkan kerajaan perpaduan bersama PH.

Penulis blog yang kini menetap di luar negara itu, turut menyebut Fadil dan Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini sebagai ‘penyokong kuat’ Anwar yang didakwanya menyebabkan dokumen-dokumen sulit Istana Negara tersebar kepada media.

“Tidak risau, berserah kepada Allah,” kata Fadil ketika ditanya berhubung dakwaan tersebut.

Sebelum ini, Raja Petra dalam satu hantaran pada 11 Ogos turut mempersoalkan ‘sumber istana’ yang mendedahkan mengenai urusan dalaman Istana Negara.

Blogger itu seolah-olah menggambarkan Fadil adalah sumber tersebut dengan meletakkan gambarnya pada hantaran berkenaan.

Ismail dilaporkan sudah menerima sokongan 114 ahli Parlimen, sekaligus menjadikannya calon yang mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat ,manakala Anwar dilaporkan hanya mempunyai sokongan 105 ahli Dewan Rakyat.

Semalam, veteran DAP, Lim Kit Siang pula mencadangkan calon yang kalah dalam persaingan sebagai Perdana Menteri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menubuhkan kerajaan perpaduan.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan