30.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kerajaan perpaduan sekadar skrip drama politik terbaru PH

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

LUCU membaca kenyataan para pemimpin pembangkang dan penyokongnya yang tiba-tiba mengeluarkan skrip drama politik ‘kerajaan perpaduan’ tatkala pemimpin harapan mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan gagal meraih majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Apa tidaknya, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum membuat keputusan mengundurkan diri daripada jawatannya, beliau ada menawarkan pelan kerjasama rentas parti dengan pihak pembangkang.

Malangnya tawaran dibuat Muhyiddin dipandang sinis, serong dan penuh curiga termasuk mendakwa beliau cuba menyogok ahli Parlimen pembangkang demi mempertahankan kuasanya.

Walhal kita semua tahu tindakan Perdana Menteri itu bagi menyelamatkan negara daripada terjerumus ke dalam krisis politik ketika rakyat sedang berperang dengan pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi yang terjejas teruk kesan wabak tersebut.

Lebih lucu, skrip drama politik itu dimainkan pembangkang ketika Datuk Seri Ismail Sabri hampir pasti dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan setelah memperoleh majoriti selamat iaitu 114 kerusi yang menyokong.

Mereka mendakwa jumlah sokongan yang diperoleh Naib Presiden UMNO itu masih belum kukuh, dan apa sahaja kemungkinan boleh berlaku sekiranya usul undi percaya dilaksanakan di Parlimen kelak.

Justeru, bagi mereka jalan penyelesaian ialah dengan menubuhkan kerajaan bersama rentas parti seperti mana ditawarkan Muhyiddin sebelum ini.

Untuk memperkukuhkan hujah mereka, suara peguam digunakan untuk “mempersoalkan” tindakan Perikatan Nasional (PN) yang menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dengan bersyarat melalui pentafsiran sendiri Perlembagaan negara.

Konon-konon ia jelas melanggar notis yang dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa segala surat akuan (SD) untuk mencalonkan Perdana Menteri mesti “tiada sebarang syarat”.

Walhal syarat yang kemukakan oleh Muhyiddin kepada Ismail Sabri adalah bagi memastikan beliau tidak melantik mereka yang hilang integriti dan mempunyai kes-kes mahkamah ke dalam Kabinet kerajaannya.

Anwar Ibrahim dikatakan gagal meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

PN hanya mahu memastikan Ismail Sabri tidak membawa bersama ‘kluster mahkamah’ ke dalam Kabinet bagi memastikan kerajaan yang diwarisi daripada Muhyiddin itu bersih dan berintegriti.

Apa yang lebih lucu, sepatutnya itu syarat tersebut ‘dipersoalkan’ oleh pihak UMNO sebaliknya PH pula yang lebih sudu daripada kuah.

Apakah bermakna PH tidak peduli soal mereka yang mempunyai rekod integriti, jenayah dan kes-kes mahkamah berada dalam kerajaan Ismail Sabri?

Atau apakah itu hanya satu lagi sandiwara politik PH yang mencari jalan agar pemilihan Ismail Sabri tidak sah dan seterusnya membuka peluang kepada Anwar menjadi Perdana Menteri?

Jika nanti Anwar sekali lagi gagal menjadi Perdana Menteri setelah dua kali peluang besar terhidang, PH sepatutnya menyalahkan Ahli Parlimen Port Dickson itu yang sebetulnya sudah hilang pengaruh.

Bayangkan sudah dua kali peluang terhidang untuk Anwar dengan hanya meraih sokongan ahli-ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri, pun gagal apa lagi yang PH harapkan daripada beliau?

PH khususnya DAP sepatutnya berfikir dua kali selepas ini untuk meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada Anwar kerana jelas beliau tiada sokongan di luar PH.

Malah DAP yang mempunyai kerusi terbanyak dalam PH perlu memikirkan apakah wajar Anwar masih dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang selepas ini? Tidakkah lebih baik Lim Guan Eng yang lebih wajar menduduki kerusi tersebut?

Cubaan beliau membina ‘jajaran baharu’ dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang diperkatakan banyak pihak sebelum ini turut mengalami kekecewaan.

Sedangkan sebelum ini Anwar amat yakin memperoleh sokongan majoriti apabila 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin. Tetapi kenyataannya tidak!

Ternyata Zahid dan kumpulan Ahli Parlimen UMNO yang pro beliau tidak berani mengambil risiko untuk melawan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang menetapkan ‘No Anwar No DAP’.

Kenyataan Anwar kepada media sejurus keluar daripada Istana Negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu jelas bahawa beliau tidak yakin dapat meraih majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen.

Justeru, beliau memetik titah Agong bahawa Baginda mahukan negara beralih kepada “politik baharu” yang mana pihak yang menang tidak boleh ‘menekan’ pihak yang kalah sebelum ini.

Persoalannya, sekiranya Anwar yakin mempunyai cukup nombor apakah beliau akan memberikan kenyataan sedemikian kepada media? Penulis yakin tidak!

Justeru, apa sahaja kenyataan yang keluar dari pihak pembangkang selepas ini hanyalah skrip drama murahan yang dijaja untuk meraih simpati, dan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat terutama penyokong mereka.

Dengan demikian diharap keputusan pelantikan Perdana Menteri bertukar daripada Ismail Sabri yang mewakili gabungan parti-parti Barisan Nasional (BN), PN dan GPS kepada Anwar.

Hashtag… #KekalPMTepi

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan