24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Antara spekulasi, persepsi dan khabar angin

Menjelang peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri esok

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

MENJELANG esok begitu banyak desas-desus, khabar angin dan pelbagai maklumat yang penulis terima berhubung siapa yang akan menggantikan Muhyiddin Yassin.

Ini kerana sejak semalam, media mula melaporkan bahawa Muhyiddin akur dengan Perlembagaan dan akan melepaskan jawatannya esok.

Beliau telah mengadakan pertemuan dengan para menteri Kabinet, para pemimpin parti-parti yang bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN) dan juga pemimpin partinya sendiri, Bersatu.

Pengesahan mengenai peletakan jawatan oleh Muhyiddin sudah diakui oleh salah seorang ahli pimpinan tertinggi Bersatu dan perkara itu tidak dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri.

Persoalannya siapa yang akan menggantikan beliau dan apakah kedudukan kerajaan PN? Apakah tumbang atau masih bertahan dengan sokongan majoriti? Atau apakah akan terbentuk satu pakatan baharu parti-parti politik untuk membentuk kerajaan?

Angin kencang bertiup menyatakan Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri mendapat sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen untuk diangkat sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Perkara ini disahkan oleh Nazri Aziz yang mengaku sudah menandatangani surat akuan menyokong pelantikan Naib Presiden UMNO itu.

Jika benar Ismail Sabri yang baru sebulan lepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dipilih sebagai Perdana Menteri bermakna UMNO boleh tersenyum lebar kerana parti itu kembali menerajui kerajaan setelah tewas dlam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 lalu.

Ismail mungkin tidak menghadapi masalah untuk mendapat sokongan Bersatu setelah sebelum ini pun beliau antara Ahli Parlimen UMNO yang kuat menyokong Muhyiddin dan mempertahankan kerajaan PN.

Malahan beliau juga dijangka tidak berdepan masalah dengan rakan-rakan UMNO walaupun sebelum ini Presiden, Zahid Hamidi sedikit kecewa dengan tindakan Ismail bersama 30 ahli Parlimen UMNO menolak gesaan beliau menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin.

Tapi senario hari ini sudah berbeza kerana usaha UMNO untuk menurunkan Muhyiddin sudah berhasil. Matlamat Zahid sebelum ini pun untuk memastikan UMNO kembali menerajui kerajaan. Kalau bukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah tentu melalui PN.

Zahid dan UMNO mungkin juga akan menyokong Ismail Sabri sebagai PM bagi mengelak PH membentuk kerajaan semula yang sekali gus menaikkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri

Walaupun nama Ismail Sabri paling kuat disebut, namun sudah tentu Anwar tidak mudah-mudah melepaskan peluang untuk menduduki kerusi yang sudah diidam sejak puluhan tahun dahulu.

Anwar dijangka akan mengadakan rundingan dengan beberapa parti lain terutama Warisan untuk memastikan PH kembali menjadi kerajaan bersama-sama DAP dan PAN.

Advertisements

Malah tidak mustahil seandainya Anwar memujuk Azmin Ali untuk menyokong PH dengan mulut manisnya dan sanggup menabur janji segala bulan bintang asalkan bekas orang kanannya itu mahu menyokong PH.

Pengaruh Azmin juga agak kuat terutama dalam kalangan bekas anggota PKR dalam PN. Jika Azmin memainkan peranannya beliau dapat menarik sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen PN untuk menyokong PH.

Namun, mahukah Azmin menjilat ludahnya sendiri dan kembali ke pangkuan PKR demi kuasa? Harus diingat sebelum Ismail Sabri dilantik sebagai TPM, Azmin adalah Menteri Kanan paling kanan dalam Kabinet Muhyiddin.

Pada masa yang sama DAP turut memainkan peranan memujuk parti-parti bukan Melayu terutama dari Sabah dan Sarawak untuk menyokong kerajaan PH.

Malah Lim Guan Eng sendiri dilapor memberi lampu hijau untuk PH berbincang dengan mana-mana parti untuk memperkuatkan sokongan terhadap PH.

Ini bermakna andai ada perbincangan dengan ‘kleptokrat’ UMNO tidak menolak kemungkinan DAP turut menerimanya, asalkan mereka kembali menguasai Putrajaya dan mengangkat Anwar sebagai PM.

Satu lagi parti yang turut memainkan peranan sebagai penentu adalah ahli-ahli Parlimen Pejuang. Walaupun hanya mempunyai empat kerusi, namun Tun Mahathir Mohamad turut berpengaruh.

Sebelum ini Mahathir hanya berseteru dengan Muhyiddin serta kleptokrat dalam UMNO. Jika Yang di-Pertuan Agong memilih kalangan bukan individu yang ditolak Mahathir, tak mustahil Pejuang turut menyokong.

Yang pasti Anwar pastinya tidak akan mendapat sokongan daripada Mahathir dan ahli Parlimen Pejuang lain.

Melainkan Mahathir masih ada perasaan tidak tahu malu, menawarkan dirinya untuk kembali menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga dalam hidupnya. Siapa tahu?

Walau apapun spekulasi yang berlegar sepanjang hari ini, keputusannya hanya boleh diketahui esok selepas Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sama ada Seri Paduka Baginda membuat keputusan memilih seorang Perdana Menteri yang baharu, atau mengekalkan Perdana Menteri sedia ada atau barang kali mahu melantik Perdana Menteri yang lama untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Jawapannya hanya ada di Istana Negara. Jadi? Tunggu sajalah…

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan