32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Annuar sedia rangka hala tuju KKMM perkasa sektor digital

Mesti Baca

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyatakan komitmen beliau untuk merangka hala tuju Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memandangkan peranan kementerian itu sangat penting.

Menurut beliau, ini terutama ketika negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi, keperluan pemerkasaan sektor digital di samping pembelaan kehidupan rakyat.

“Saya komited untuk merangka hala tuju KKMM supaya lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara supaya seluruh Keluarga Malaysia memperolehi manfaatnya.

“Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu merupakan antara menteri yang dikekalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menganggotai barisan Kabinet beliau.

Pada masa yang sama, Annuar berharap mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi-agensi di bawahnya.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan kita dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia Kesembilan,’ katanya.

Sebelum itu, beliau menjunjung kasih atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah melantik beliau sebagai menteri Kabinet Ismail Sabri.

“Kepercayaan dan amanah yang diberikan ini adalah satu penghormatan yang amat besar buat diri saya, rakyat di Parlimen Ketereh dan juga kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang saya wakili,” katanya.

KKMM merupakan kementerian yang diberi perhatian rakyat ketika pandemik Covid-19 memandangkan sebelum ini pelbagai isu berkaitan liputan internet dihadapi mereka ketika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Dari Rumah (PdPR). – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan