AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas Tan Sri Annuar Musa dengan menggesa Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu tidak berlebihan bercakap soal kesusahan rakyat.
Ini berikutan Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO menjadi kecaman warganet ekoran memberi sumbangan mi segera kepada pengundi di Neggiri sambil mengenakan pakaian mewah berjenama terkenal.
Puad yang menunjukkan “simpati” terhadap Annuar berkata, itu adalah haknya untuk memakai pakaian berjenama apa sahaja dan berapa pun harganya.
“Viral (tular) beberapa gambar Annuar Musa pakai barang jenama Louis Vuitton. Baju LV. Jam tangan LV. Selipar pun LV. Ia ekoran Annuar pakai baju Louis Vuitton masa bagi mi segera kepada pengundi Orang Asli.
“Kesian Annuar. Tak salah dia pakai barang berjenama. Betullah, itu pitih (duit) dia. Tetapi berpada-padalah. Lain kali jangan over (lebih-lebih) bila cakap rakyat hidup susah. Tetapi kamu pula pakai LV,” bidas Puad menerusi Facebooknya hari ini.
Sehubungan itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu mencadangkan Annuar agar ‘berlakon’ sedikit dengan memakai kopiah dan kain pelikat ketika bertemu rakyat.
“Berlakonlah sikit. Pakai kopiah dan kain pelekat cap Gajah Duduk. Anuar kata ahli Pas yang tuduh DAP kafir harbi tersasul cakap. Tapi pakai baju Louis Vuitton tidak mungkin tersasul,” bidasnya.
Sebelum ini Annuar memuat naik gambar beliau menyampaikan sumbangan kepada para pengundi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri menerusi media sosialnya.
Bagaimanapun, baju yang dipakainya ketika program tersebut menjadi perhatian warganet sehingga mengundang mereka untuk mencari tahu harganya.
Mereka kemudian mengecam Annuar kerana hanya memberi sumbangan mi segera dan biskut kepada rakyat setelah mengetahui baju tersebut didakwa berharga belasan ribu ringgit. – Edisi 9