TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh bukan disebabkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau UMNO.
Sebaliknya kata pemimpin berusia 99 tahun itu, beliau meletakkan jawatan kerana partinya Bersatu menolak nasihatnya sehinggakan beliau merasakan sudah tidak mendapat kepercayaan oleh partinya sendiri.
“Sebab yang saya letak jawatan ialah apabila kemudian parti saya, Bersatu, menolak nasihat saya.
“Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya dia, secara terhormat sepatutnya letak jawatan. Dan itulah yang saya lakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin Zahid yang juga Presiden UMNO mendedahkan bahawa beliaulah dalang utama menjatuhkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020 dalam usaha menyelamatkan tindakan pengharaman parti tersebut.
Menurutnya, tindakan luar biasa terbabit terpaksa dilakukan untuk menolak Dr Mahathir yang ingin mengharamkan UMNO.
“Apabila mengetahui UMNO mahu diharamkan dan ini disahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di ILMU, Janda Baik… kertas pengharaman telah berada di atas meja Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ketika itu.
“Jadi dalam situasi itu, tentunya semua ahli apatah lagi kepimpinan UMNO mengharapkan pada saya bagaimana cara terbaik supaya UMNO tidak diharamkan,” katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis.
Menafikan perkara itu, Dr Mahathir menjelaskan, Zahid atau UMNO tidak boleh menumbangkan beliau kerana parti yang kalah tidak berhak untuk menjatuhkan parti yang menang.
“Zahid tidak perlu mendabik dada sebagai hero yang menjatuh saya dan menyelamat UMNO.
“Zahid bukan hero. Ia hanya seorang yang menghadapi tuduhan dalam mahkamah dan sanggup bekerjasama dengan musuh ketat UMNO, iaitu DAP, supaya (dapat) jadi Timbalan Perdana Menteri demi menyelamatkan dirinya daripada dibicara berkenaan kesalahannya,” katanya.
Dr Mahathir berkata, UMNO kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kekalahan itu tidak bermakna parti tersebut akan hapus, tetapi hanya tidak dapat menjadi kerajaan.
“Di waktu Zahid datang jumpa saya, dia baru jadi Presiden UMNO. Dia ingin tahu apa akan jadi kepada UMNO setelah kalah.
“Bagi saya UMNO sudah tidak lagi berpegang kepada dasar penubuhan UMNO iaitu berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Parti yang mengguna nama UMNO berjuang untuk wang (Cash is King),” katanya.
Dr Mahathir berkata, oleh kerana tidak lagi sama dengan perjuangan asal UMNO, maka hak untuk dikenali sebagai parti UMNO sudah hilang.
“Oleh itu adalah lebih baik bagi nama UMNO tidak diguna dengan cara membubar parti yang mengguna nama UMNO.
“Zahid tidak bersetuju dan tidak membubar partinya yang mengguna nama UMNO,”kata beliau.
Dr Mahathir terus mengungkitkan isu mahkamah yang dihadapi Zahid apabila mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu ada berjumpanya buat kali kedua.
“Saya jelaskan saya tidak berkuasa membebaskan beliau. Bukti yang cuba ditunjuk kepada saya sepatutnya ditunjuk kepada hakim mahkamah.
Untuk rekod Dr Mahathir dipilih sebagai Perdana Menteri buat kali kedua setelah Bersatu pimpinannya bergabung dengan PKR dan DAP menumbangkan BN dalam PRU-14.
Bagaimanapun, setelah 22 bulan mentadbir Putrajaya, beliau mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya tumbang dan diganti dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gabungan Bersatu, UMNO dan Pas. – Edisi 9

