25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Wanita PN sokong penuh Muhyiddin, junjung titah Agong

Mesti Baca

CYBERJAYA – Wanita Perikatan Nasional (Wanita PN) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan ketua kerajaan.

Wanita PN dalam kenyataan malam ini memaklumkan Perdana Menteri telah memimpin negara dengan sehabis baik dalam suasana sangat mencabar ekoran pandemik Covid-19 dan bersifat taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Perdana Menteri telah menzahirkan titah Baginda agar diadakan Sidang Khas Parlimen yang sedang berlangsung, segala urusan telah diatur mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang niat untuk menyalahinya,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh, Ketua Wiranita STAR Evelyn Gobile, Ketua Wanita SAPP Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Nasional Gerakan Janice Wong Oi Foon.

Wanita PN juga menegaskan kerajaan pimpinan Muhyiddin sentiasa menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.

Gabungan itu yakin bahawa prinsip tersebut menjadi pedoman kepada kerajaan yang tidak sekali-kali akan menderhaka kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dalam kerangka perlembagaan negara.

“Kami juga menjunjung kasih di atas titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong seperti yang dikeluarkan oleh Istana Negara semalam khasnya keprihatinan Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat dan menyeru semua pihak bersama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Wanita PN turut menyeru semua pihak agar bersama-sama dengan perdana menteri dan kerajaan untuk kembali fokus kepada agenda utama yang paling mendesak iaitu memerangi pandemik COVID-19 serta memulihkan kehidupan rakyat. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan