28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tinggalkan budaya politiking jejas kesatuan ummah – Hashim

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Semua pihak digesa meninggalkan budaya politiking yang boleh mengorbankan kesatuan ummah yang akibatnya terpaksa ditanggung oleh rakyat ketika suasana sukar pandemik seumpama ini, kata Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

Hashim berkata, mereka seharusnya mencari noktah-noktah persamaan untuk memastikan negara ini dapat berhadapan dengan kemaraan COVID-19 yang tidak mengenal warna kulit, warna politik dan agama.

“Hanya menerusi pengorbanan dan perpaduan kita dapat mengharungi ujian ini dengan sabar dan teguh untuk menang bersama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidiladha.

Menurut beliau, dalam berdepan dengan situasi getir ujian COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia termasuk negara ini, adalah menjadi tanggungjawab kepada rakyat untuk bersatu padu dan bekerjasama berganding bahu menghadapi pandemik yang mengancam kehidupan ini.

Hashim memberitahu, pandemik yang tidak mengenal bangsa, agama, kaya mahupun miskin, menuntut semua pihak untuk mengenepikan perbezaan dan perselisihan demi negara yang tercinta.

“Ia memerlukan pengorbanan yang besar bersesuaian dengan intipati sambutan Hari Raya Aidiladha yang menuntut umatnya untuk mengorbankan haiwan ternakan sebagai manifestasi kepada kisah unggul keyakinan dan keimanan Nabi Ibrahim a.s. menerima arahan Allah SWT untuk mengorbankan anak baginda Nabi Ismail a.s.,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi firman Allah dalam surah al-Sooffaat ayat 104 hingga 107

وَنَادَيْنَاهُ أَن يَا إِبْرَاهِيمُ (104)قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ (105)إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ (106)وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ(107)

Maksudnya: “Dan Kami seru dia wahai Ibrahim. Kamu sememangnya telah membenarkan mimpi tersebut. Sesungguhnya demikianlah Kami beri ganjaran pada golongan yang melakukan kebaikan. Sesungguhnya ini benar-benar ujian yang nyata. Dan Kami tebus Ismail itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”.

Advertisements

Hashim menambah, sesungguhnya setiap kejayaan itu tidak diperoleh melainkan dengan pengorbanan dan perpaduan.

“Pengorbanan adalah merupakan satu bentuk usaha yang tertinggi dalam mencapai cita-cita yang murni.

“Perpaduan pula adalah kekuatan yang terpenting ketika berdepan apa jua situasi yang mencabar,” katanya.

Beliau berkata, proses Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka oleh kerajaan tidak mungkin dijayakan melainkan semua pihak sanggup melakukan pengorbanan besar iaitu mengetepikan segala perbezaan, kepentingan diri dan cita-cita politik.

Hashim berkata, bagi mencapai kekuatan yang utuh dalam membina satu kesatuan fikiran dan tindakan, maka perpaduan sesama kita adalah elemen terpenting yang wajib dipenuhi.

“Justeru, saya menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang bangsa, agama dan kumpulan politik untuk sama-sama kita menghayati dan mengisi semangat pengorbanan dan perpaduan dalam usaha memulihkan negara dan mengembalikan kesejahteraan rakyat Malaysia tercinta,” ujarnya.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Aidiladha 1442H kepada seluruh muslimin dan muslimat serta rakyat Malaysia amnya.

“Saya doakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan dan mengangkat musibah ini daripada kita semua,” jelasnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan