34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Suntikan kosong tiada kaitan sindiket jual vaksin – KJ

Mesti Baca

CYBERJAYA – Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menegaskan,  sebanyak 13 laporan polis berhubung kes suntikan vaksin kosong tiada kaitan dengan penjualan vaksin.

Katanya, hanya satu kes disebabkan kecuaian manakala selebihnya tiada bukti yang kukuh seperti didakwa.

“Saya telah bincang dengan PDRM berkenaan perkara ini. Setakat hari ini menunjukkan bahawa laporan polis yang dibuat tiada kaitan langsung dengan kes kononnya berlaku suntikan kosong dengan sindiket jualan vaksin.

“Ada siasatan dibuat sindiket jualan vaksin, polis memaklumkan setakat ini tiada kaitan kes suntikan kosong dengan penjualan vaksin.

“13 kes telahpun dibuat laporan polis. Ada beberapa kes selesai disebabkan salah faham dan telah dipadamkan media sosial pengadu,” katanya pada media PICK, di Putrajaya hari ini bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba.

KHAIRY JAMALUDDIN

Beliau yang juga Menteri Sains dan Teknologi berkata, terdapat satu kes melibatkan kecuaian jururawat di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani baru-baru ini.

“Ada kes pengadu buat laporan polis kerana tangan tidak lenguh dan tiada kesan sampingan vaksin. Kesan sampingan ini berbeza daripada satu orang ke satu orang lain.

“Untuk kes di Sungai Petani, iaitu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, ini satu-satunya kes jururawat mengaku berlaku kecuaian disebabkan keletihan jururawat tersebut. Amaran telah diberi kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat. Jururawat itu akan melalui tindakan tatatertib di bawah KKM,” jelasnya lagi.

Beliau memberitahu, dua lagi kes di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Banting dan MITEC, Kuala Lumpur disebabkan kekeliruan petugas kesihatan apabila dos tambahan diberikan kepada penerima.

Bagaimanapun , kata beliau, kadar kes yang dilaporkan sangat rendah berbanding lebih 16 juta dos yang diberikan kepada rakyat ketika ini.

Justeru, beliau menyeru kepada semua rakyat agar terus memberi semangat kepada petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus dalam peperangan menentang Covid-19.

Khairy pada sidang media itu juga memberi kebenaran untuk rakyat merekodkan gambar atau video ketika menerima suntikan vaksinasi di PPV.

“Untuk tidak berlaku apa-apa keraguan, saya telah mengarahkan pertamanya seperti biasa kita pastikan SOP sedia ada untuk (petugas kesihatan) tunjuk penerima vaksin picagari sudah diisi kuantiti (vaksin) sempurna sebelum suntikan.

“Kedua, kebenaran daripada saya dan Menteri Kesihatan, kalau ada arahan tidak diberikan kemudahan ini, penerima vaksin boleh video penerimaan suntikan mereka.

“Anda boleh rakamkan video diri anda menerima vaksin, jadi anda dan kami mempunyai bukti kukuh bahawa vaksin yang sempurna telah diberikan,” kata beliau.

Beliau berkata, kebenaran itu juga diberikan agar tidak menganggu perjalanan program PICK ketika ini. 

“Saya mahu anda (petugas kesihatan) tahu, bahawa saya sentiasa ada di belakang anda. Ini cuma satu atau dua kes kecuaian manusia, ia tidak boleh menyebabkan segala susah payah dan kerja keras anda semua tidak bermakna. Terima kasih semua petugas barisan hadapan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan