33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Syed Saddiq masuk politik untuk ‘bersihkan politik’?

Mesti Baca

Mesin Taip Buruk
Mesin Taip Buruk
Blogger / Kolumnis Edisi 9

MESTI ramai yang kagum dengan falsafah politik anak muda bernama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ini apabila menjelaskan bahawa beliau menyertai politik untuk membersihkan politik.

Tahniah anak muda! Jarang anak muda yang bersuara lantang seperti ini sepanjang aku memerhati dan menganalisis gelagat orang politik terutama pemimpin politik parti-parti di Malaysia lebih sedekad lalu.

Cuma tak sedapnya slogan “masuk politik untuk membersihkan politik” keluar ketika dia baharu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah wang parti berjumlah lebih RM1 juta.

Aku tak mahu sentuh isu mahkamah anak muda ini kerana ia boleh menjadi subjudis ketika kesnya sudah menjadi kes mahkamah. Tak pasal-pasal aku pula diheret ke Jalan Duta.

Cuma aku nak bagi tahu hampir semua orang yang masuk politik akan membawa falsafah masing-masing terutama dalam meraih sokongan rakyat dan pengikut.

Ada yang menjaja untuk membela nasib rakyat, ada yang melaungkan slogan untuk menegakkan negara Islam, ada yang kata demi alif, ba, ta dan tak kurang juga memperjuangkan hak sama rata dalam kalangan rakyat dan menyelamatkan negara.

Tapi apabila mereka ini sudah diberi peluang untuk berkuasa tak kiralah peringkat mana, segala slogan dan falsafah mereka semuanya hilang di laut dalam. Sepi tanpa berita.

Sebaliknya peluang-peluang keemasan untuk meraih laba terpampang di depan mata, maka pemandangan mula semakin kabur, hati sedikit demi sedikit mula kelam.

Aku bukan kata semuanya, cuma daripada pemerhatian aku macam itulah majoritinya. Tak usah sembang jawatan menteri, penasihat bertaraf menteri atau exco.

Memegang jawatan ketua di peringkat bahagian dan cawangan parti masing-masing pun mula meliar mencari peluang dan ruang.

Aku memang salut dengan Syed Saddiq yang menjadi pengikut setia Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum dipilih untuk menjadi calon di Parlimen Muar dalam PRU-14 lalu.

Kemudian meninggalkan Mahathir dan parti pertamanya, Bersatu untuk menubuhkan sebuah parti baharu… parti anak muda. Tahniah bro!

Khairy Jamaluddin (KJ) antara pemimpin muda yang mempunyai cita-cita besar. Pernah menyatakan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri sebelum usia 40 tahun.

Semangat dan usaha gigihnya untuk meletakkan diri di kedudukan yang terbaik dalam parti khususnya tak pernah berhenti sehingga kini. Pernah mencuba nasib bertanding kerusi presiden dan aku percaya hasrat untuk bertanding lagi masih membuak-buak.

Lantang bersuara, bersemangat, bercita-cita tinggi dan mahu membawa ‘perubahan’ dalam parti, persis perjuangan Syed Saddiq.

Cuma bezanya mereka menggunakan platform parti yang berbeza. Tapi yelah, jiwa orang muda ini lain. Penuh dengan idealisme dan semangat yang berkobar-kobar.

Aku bukan nak memperlekehkan perjuangan anak-anak muda baik Syed Saddiq, KJ atau ramai lagi pemimpin-pemimpin muda dalam parti masing-masing.

Tapi nak tak nak kena makan garam lebih banyak untuk bergelut dalam dunia dan ragam politik yang sebenar. Politik ini bukannya macam persatuan pelajar tetapi ia memerlukan gerak kerja yang berakar dari peringkat bawah sehingga paling atas.

Mengatur sebuah parti politik bukan seperti menguruskan sebuah persatuan. Ia memerlukan kesempurnaan, ketelitian, cekal, sabar, tabah dan segala-galanya.

Sebabnya orang politik akan sentiasa menjadi perhatian rakyat, kerana rakyatlah yang akan menentukan kedudukan mereka dalam pilihan raya nanti. Sebab itu mereka diperhati dari segala aspek, dari hujung rambut sampai hujung kaki, luar dan dalam.

“Masuk politik untuk membersihkan politik” bagi aku satu retorik yang sekadar menyedapkan hati para pengikut kerana realitinya amat sukar untuk membersihkan sebuah kolam najis hanya menggunakan secawan air paip.

Sebetulnya politik bukanlah kotor, tetapi orang politiklah yang mengotorkannya. Jadi kalau mahu membersihkan politik, bersihkanlah diri sendiri dahulu.

Sebab itu dalam Islam mengajar kita membersihkan diri dengan wuduk sekurang-kurangnya lima kali sehari. Sebab Allah tahu jika manusia bersih segi fizikal dan spiritual maka ‘bersihlah’ dunianya.

Kepada Syed Saddiq, inilah peluang untuk membersihkan dirinya daripada segala tuduhan kotor ke atasnya di mahkamah. Jangan takut jika benar. Allah sentiasa bersama orang yang benar.

Selamat maju jaya!

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan