31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Malaysia ingin perluas pasaran minyak sawit di Mesir

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

KAHERAH – Malaysia berminat untuk mengembangkan lagi pasaran minyak sawit di Mesir menerusi pemindahan teknologi, kepakaran dan modal kepada syarikat-syarikat di negara itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usaha sama tersebut akan memastikan minyak sawit Malaysia sentiasa tersedia di pasaran Mesir.

“Langkah itu juga akan mengurangkan masa menunggu, risiko perubahan harga dan risiko transaksi serta memastikan harga hampir sama atau setara dengan minyak sawit Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Pacific Interlink Sdn Bhd di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Dewan Industri Makanan dan Komoditi Mesir, Zakaria El-Shafie; Pengarah Urusan Pacific Interlink Group, Fouad Hayel Saeed Hanam dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd Karli.

Mohd Khairuddin sedang mengadakan lawatan kerja ke Mesir susulan perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi baru-baru ini.

Beliau menambah, Malaysia telah mengeksport sebanyak 155,747 tan minyak sawit ke Mesir tahun lalu, peningkatan kira-kira 83 peratus berbanding pada 2019.

“Malaysia amat menghargai sokongan Mesir terhadap minyak sawit kami.

Advertisements

“Kami sangat berminat untuk memadankan pemain-pemain industri minyak sawit Malaysia dengan pemain-pemain industri yang berkaitan di Mesir, khususnya sektor pembuatan dan perkhidmatan makanan,” jelasnya.

Mohd Khairuddin memberitahu, Malaysia melihat Mesir sebagai pasaran minyak sawit yang kukuh dan terbesar di benua Afrika.

Beliau juga gembira bahawa struktur percukaian minyak sayuran di Mesir membolehkan minyak sawit Malaysia dipasarkan pada harga yang kompetitif.

“Sehubungan itu, kami merancang untuk menembusi pasaran Sudan, Libya, Algeria dan Yaman serta negara-negara jiran yang lain melalui Mesir,” katanya.

Sementara itu, Fouad dalam ucapannya menyatakan penghargaan kepada Mohd Khairuddin dan kementeriannya atas sokongan dan diberikan kepada syarikatnya dan pemain-pemain industri yang lain melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

“Seperti yang kita semua tahu, Malaysia merupakan hab penyelidikan utama bagi pembangunan produk minyak sawit yang tidak berkompromi tentang soal kualiti dan hari ini kita dapat lihat pelbagai produk yang menggunakan minyak sawit seperti kosmetik, ubat dan lain-lain,” ujarnya.

Beliau menambah, kejayaan MPOC sebagai agensi yang mempromosi minyak sawit telah membantu semua pemain industri untuk meningkatkan nilai jualan mereka di seluruh dunia.

“Perkembangan itu adalah hasil peningkatan mendadak tahap kepercayaan pengguna terhadap minyak sawit dan mereka menyedari bahawa minyak sawit memberi nilai terbaik untuk wang mereka,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan