KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memantau perkembangan lapan pelajar Malaysia dari Universiti Al-Azhar, Mesir yang terlibat dalam kemalangan di negara itu, Sabtu lalu.
KPT dalam kenyataannya berkata, para pelajar terbabit terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Kaherah ke Port Said.
Katanya, lima pelajar dilapor mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sayed Galal, Kaherah manakala tiag ditempatkan di wad kecemasan untuk rawatan lanjut,
“KPT juga sentiasa mengikuti secara rapat perkembangan situasi ini melalui Kementerian Luar Negeri (KLN).
“KPT melalui Pejabat Education Malaysia Mesir (EMM) memantau perkembangan semasa pelajar yang terlibat,”kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT menggalakkan para pelajar Malaysia di luar negara untuk mengemas kini butiran dan pengajian mereka dalam sistem MyData@EducationMalaysia4U yang disediakan.
Katanya, ia bertujuan capaian maklumat data yang tepat dan cepat sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Edisi 9