27.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, February 15, 2025

MicroLEAP pergiat perkasa PMKS melalui pembiayaan Sarana

Mesti Baca

PLATFORM P2P (peer-to-peer) tempatan, MicroLEAP mempergiatkan usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kontraktor kecil di negara ini menerusi skim pembiayaan alternatif Sarana.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MicroLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata,melalui skim pembiayaan Sarana, pihaknya menyediakan pilihan pembiayaan yang lebih cepat dan fleksibel.

Beliau berkata, ini termasuk pembiayaan invois dan pembiayaan prakontrak yang membolehkan perniagaan memenuhi keperluan modal kerja mereka dengan lebih berkesan.

“Berbeza dengan institusi kewangan tradisional yang sering mengenakan syarat ketat, MicroLEAP menggunakan teknologi untuk memudahkan akses kepada modal, memastikan segmen yang kurang mendapat perhatian turut berpeluang berkembang maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dengan RM125 juta disalurkan dalam pembiayaan pada tahun lalu, MicroLEAP mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 101 peratus, sekali gus memberi impak terhadap landskap PMKS di negara ini.

Beliau berkata, PMKS merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, tetapi ramai yang masih berdepan halangan untuk mendapatkan modal yang diperlukan bagi berkembang.

Advertisements

Platform seperti MicroLEAP, katanya, bukan sekadar mengisi jurang tetapi turut mengubah cara perniagaan mendapatkan pembiayaan.

Katanya, melalui penyelesaian dalam talian yang mematuhi syariah, pihaknya sedang membentuk ekosistem kewangan yang lebih inklusif dan memacu pertumbuhan mampan.

“Melalui skim Sarana, kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan kami, memperkasa perniagaan untuk berkembang, meningkatkan skala, dan bersaing dalam persekitaran yang semakin mencabar.

“Pembiayaan invois, khususnya, menjadi pengubah permainan bagi PKS dan kontraktor. Ia menukarkan invois belum terbayar menjadi aliran tunai segera, memastikan mereka mempunyai modal kerja untuk memenuhi kontrak, membayar pembekal, dan merebut peluang baharu,”katanya.

Sebagai satu-satunya platform pembiayaan P2P dengan pejabat di Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, dan Perak, beliau berkata, MicroLEAP memastikan PMKS di seluruh Malaysia dapat mengakses pembiayaan yang sesuai dengan keperluan mereka tanpa mengira lokasi.

Katanya, jejak strategik tersebut penting bagi memajukan inklusi kewangan, terutama di kawasan luar bandar di mana perniagaan sering menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tiga langkah Malaysia pastikan ASEAN kekal bersaing

MALAYSIA selaku Pengerusi ASEAN tahun 2025 perlu melaksanakan tiga langkah utama jika mahu memastikan rantau ini terus kekal bersaing. Pensyarah...

Lagi Artikel Berkaitan