30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

PRIHATIN Kasih: Dana RM100 juta bantu miskin bandar

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Program PRIHATIN Kasih dengan peruntukan RM100 juta bagi membantu 300,000 isi rumah miskin bandar telah bermula di Selangor dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai lalu.

Kementerian Kewangan berkata, projek perintis yang bertujuan menghulurkan bantuan barangan dapur kepada golongan berkenaan dilancarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut kementerian itu, peruntukan RM100 juta itu telah diumumkan sebagai salah satu langkah pakej PEMERKASA, bagi membantu menangani kos sara hidup golongan miskin bandar.

“Program bantuan barangan dapur ini disalurkan secara tanpa tunai atau cashless melalui penggunaan MyKad dan akan memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara.

“Keluarga yang menerima PRIHATIN Kasih telah dipilih daripada keluarga miskin bandar, dengan mengambil kira pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan e-Kasih yang seterusnya disemak silang dengan pengkalan data Bantuan Prihatin Rakyat (BPR),” kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan media, hari ini.

Kementerian tersebut menambah, PRIHATIN Kasih melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur, dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah.

Jelas Kementerian Kewangan, program PRIHATIN Kasih ini melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit.

“Fasa Pertama yang telahpun dilaksanakan bermula pada 1 Julai 2021 di Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan maklumbalas positif dari penerima,” kata Kementerian Kewangan.

Advertisements

Fasa selanjutnya akan dilancarkan di Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Terengganu pada Ogos ini manakala di Negeri Sembilan, Labuan, Pahang, Putrajaya, Sabah dan Sarawak mulai September hingga Oktober ini.

Penerima PRIHATIN Kasih yang layak akan menerima SMS daripada MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima manfaat di bawah program ini serta tarikh dan masa untuk sesi taklimat orientasi di kedai runcit yang terdekat.

Maklumat lanjut boleh didapati di http://www.mykasih.com.my/site/prihatin-kasih/

Program MyKasih ini merupakan pelengkap kepada Program Bakul Makanan yang telahpun diumumkan di bawah pelbagai pakej-pakej bantuan termasuk PERMAI iaitu Program Bakul Makanan bernilai RM50 juta dan PEMULIH iaitu Program Bakul Makanan nasional di mana RM80 juta telah diperuntukkan, dengan agihan RM300,000 bagi setiap Ahli Parlimen, termasuk dari Parti Pembangkang.

Peruntukan tersebut telah disalurkan kepada semua Ahli Parlimen bermula 1 Julai 2021.

Bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi, peruntukan ini akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik dan Majlis Perbandaran Sandakan.

Baki selebihnya adalah untuk pengagihan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli.

Selain itu, rakyat yang memerlukan juga boleh memanfaatkan program agihan makanan yang dikelolakan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan termasuk JKM, Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Program Gerobok Rezeki). – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan