
Saudara Pengarang,
Awal bulan lalu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ada mengumumkan agihan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0.
Antara yang diumumkan oleh beliau ialah kerajaan negeri bersetuju memberi penangguhan atas sewaan premis perniagaan milik Kerajaan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bulan Jun dan Julai 2021.
Pengumuman itu dibuat Menteri Besar melalui Facebook rasmi beliau dan ia turut dilaporkan oleh media-media tempatan, termasuk Edisi 9 pada 2 Jun lalu.
Ahmad Samsuri dalam kenyataan tersebut berkata, penangguhan itu tertakluk kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi.
Sebagai salah seorang penyewa premis perniagaan milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) di Kertih, Kemaman, sehingga kini kami belum mendapat sebarang notis berhubung penangguhan tersebut, walaupun sudah memasuki bulan Julai.

Kami ada menghubungi pejabat PMINT di Kertih untuk membuat permohonan berhubung penangguhan bayaran sewa premis, sejurus perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar namun pegawai berkenaan memaklumkan kami tidak perlu membuat sebarang permohonan.
Sebaliknya satu notis pemberitahuan berhubung perkara itu akan dihantar oleh ibu pejabat PMINT kepada semua penyewa yang berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga hari ini kami belum menerima sebarang surat pemberitahuan mengenai penangguhan bayaran tersebut, dan kami masih diminta membayar sewa premis seperti biasa walaupun perniagaan kami tidak dibenarkan beroperasi sejak lebih sebulan lalu berikutan PKP 3.0.
Untuk makluman tuan, perniagaan kami bukanlah perkhidmatan perlu. Justeru, kami diarah oleh pihak berkuasa tempatan untuk tidak menjalankan perniagaan kami sehingga Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang kami sendiri tidak pasti bila.
Kami patuh dengan arahan tersebut dan sebetulnya kami sudah tidak menjalankan operasi perniagaan sejak beberapa hari menjelang Aidilfitri yang lalu, sehinggalah hari ini apabila PKP 3.0 dilaksanakan di seluruh negara.
Justeru, kami menuntut penjelasan daripada pihak Pejabat Menteri Besar sama ada kami yang terjejas perniagaan ekoran PKP 3.0 ini perlu menjelaskan sewa premis PMINT seperti diminta atau boleh menangguhkan bayaran tersebut?
Jika dibolehkan, kami berharap pihak PMINT dapat mengeluarkan notis pemberitahuan berhubung perkara itu supaya kami tidak dipersalahkan jika tidak menjelaskan kadar sewa yang dituntut.
Kami berharap apa yang diumumkan oleh Menteri Besar itu bukanlah janji kosong kerana sememangnya sejak PKP 3.0 dan perniagaan kami tidak dapat beroperasi, kami sudah hilang punca pendapatan, apatah lagi mahu membayar sewa premis sebanyak RM2,200 sebulan itu.
Semoga mendapat penjelasan daripada pihak PMINT dan Pejabat Menteri Besar berhubung perkara ini.
PENYEWA HAMPA
Kertih, Kemaman
E-melkan keluhan, pandangan, kritikan dan aduan anda kepada kami menerusi [email protected]